Isu Panas

Tinggalkan DAP?

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu dari DAP, mengakui akan meninggalkan parti itu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Yee Cheu, berkata keputusan itu dibuat selepas mengakui tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan parti.

“Sudah sampai masanya saya membuat keputusan ini. Saya pernah suarakan hasrat sama pada Jun lalu. Saya yakin parti tahu mengenai perkara ini.

“Buat masa ini, saya tetap akan berkhidmat sebagai wakil rakyat DAP dan ia perkara utama yang akan saya dahulukan sebab ia amanah yang diberikan pengundi di kawasan saya,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk menyertai parti lain selepas keluar daripada DAP, Yee Cheu berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk difikirkan.

“Saya seorang wakil rakyat dan tanggungjawab saya memperjuangkan hak mereka (pengundi) dan kerana itu saya rasa saya perlu buat keputusan untuk keluar kerana sudah tidak sehaluan. Perkara lain saya masih belum fikir.

“Buat masa ini, itu sahaja yang saya boleh ulas memandangkan saya masih lagi ahli DAP dan saya akan terus jalankan tugas saya termasuk menghadiri sidang DUN yang mungkin terakhir minggu depan,” katanya.

Sebelum ini, Yee Cheu wakil rakyat DAP yang lantang mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang berkaitan isu banjir dan alam sekitar termasuk insiden runtuhan tanah di Tanjong Bungah, baru baru ini.

Beliau juga yang membangkitkan isu untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada dua penggal.

Yee Cheu sebelum ini mendakwa, walaupun usul itu ditolak untuk dibahas pada sidang DUN, beliau bertekad untuk memperjuangkannya demi kepentingan awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");