Jenayah

‘Jangan Berhimpun Di Padang Timur’ – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’, di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu ini berdepan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika berkeras mahu meneruskannya di lokasi terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata penganjur sudah dinasihatkan mengadakan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya.

“Keadaan di stadium teratur dan lebih mudah dikawal termasuk oleh pihak polis.

“Kita menerima sekurang-kurangnya empat laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan termasuk penduduk setempat yang tidak mahu perhimpunan terbabit dibuat di Padang Timur,” katanya, menurut laporan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Bual Bicara Sarapan Pagi Berkaitan Integriti bertajuk ‘Kelestarian Keamanan Negara – Perspektif Integriti’ di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) di sini, hari ini.

Program anjuran Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) itu turut dihadiri Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff selaku moderator program bual bicara.

Mohamad Fuzi berkata, Padang Timur hanya mampu memuatkan kira-kira 10,000 orang sedangkan penganjur menjangkakan lebih 20,000 orang menghadiri perhimpunan anjuran pakatan pembangkang itu.

“Penduduk setempat bimbang berlaku kesesakan dan lokasi perhimpunan turut terletak berhampiran lebuh raya dengan laluan masuk terhad kepada tiga laluan.

“Ini akan menyukarkan orang ramai dan jika berlaku perkara tidak diingini, polis yang dipersalahkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");