Jenayah

Jumlah Mangsa Banjir Kota Belud Meningkat

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud meningkat kepada 2,132 orang sehingga jam 11 pagi ini berbanding 2,113 orang setakat 8 malam tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara iaitu Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, Dewan SMK Taun Gusi 1, Dewan SMK Taun Gusi 2, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi, Dewan Gopok Taginambur, Dewan Muhibah Tombol dan Dewan SK Pekan.

Sebanyak 26 kampung masih terjejas dengan banjir, manakala lapan jalan tidak boleh dilalui kenderaan, lapor Bernama.

Namun begitu, bacaan paras air di dua daripada tiga sungai utama di daerah telah menurun daripada paras bahaya iaitu Sungai Abai daripada 5.7m kepada paras amaran 4.96m dan Sungai Tempasuk daripada 5.46m kepada paras berjaga-jaga 4.14m, manakala Sungai Kadamaian kekal di paras normal.

Di Tuaran pula, jumlah penduduk daripada 14 kampung terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan menurun kepada 236 berbanding 288 orang  sebelum ini.

Mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu Masjid Kampung Bunga Tenghilan dan SMK Sri Nangka.

Keadaan  cuaca semakin baik sejak semalam di daerah itu manakala satu jalan iaitu Jalan Tinambak tidak boleh dilalui kenderaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");