Berita Hari Ini

KSN Pantau Pelaksanaan Projek, Program

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata beliau akan memantau pelaksanaan projek dan program di bawah Bajet 2018 bagi memastikan ia memanfaatkan rakyat dan negara sepenuhnya.

Menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam adalah yang terbaik dalam tempoh perkhidmatan beliau sejak 1981, beliau berkata ia adalah paling lengkap, holistik, mampan, inklusif, dan komprehensif.

“Semua rakyat mendapat manfaat (daripada bajet). Semua etnik, gender dan sektor seperti perumahan, alam sekitar, pembangunan bandar diambil kira. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, penjawat awam harus memberikan komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan tugas dengan segera. Pastikan tiada kepincangan dan melakukan seikhlas-ikhlasnya.

“Ini adalah KPI (petunjuk prestasi utama) semua ketua setiausaha kementerian, ketua perkhidmatan dan ketua pengarah semua jabatan serta agensi perkhidmatan awam… Saya sendiri akan memantau pelaksanaan projek dan program di bawah Bajet 2018,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berharap penjawat awam akan mempertingkatkan dorongan dan tahap penyampaian perkhidmatan pada tahun depan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Sebelum itu, beliau melepaskan kira-kira 4,000 peserta Putrajaya Pink Oktober Run 2017 di Dataran Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan Puan Sri Rohani Abdullah.

Dalam Bajet 2018, Najib mengumumkan pelbagai pemberian insentif dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam, termasuk kenaikan pangkat berasaskan masa kali kedua untuk Kumpulan Pelaksana, Waktu Kerja Fleksi bagi pakar perubatan, penambahan Waktu Kerja Berperingkat dan pemberian Cuti Tanpa Rekod untuk menunaikan umrah serta peningkatan pencen terendah ke RM1,000 untuk mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun.

Selain itu, perdana menteri juga mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam yang akan dibayar pada Januari 2018 sebanyak RM1,000 dan RM500 sempena Aidilfitri.

Pesara juga tidak ketinggalan menikmati RM750, yang mana RM500 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya menjelang Aidilfitri tahun depan.

Sementara itu, mengenai penambahan Waktu Kerja Berperingkat bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, Ali berkata penjawat awam kini boleh memilih dari empat waktu peringkat mengikut kesesuaian sendiri.

“Dengan ini, ibu bapa yang bekerja boleh menguruskan keluarga dan menghantar anak ke sekolah sebelum masuk pejabat pada pukul 9. Ini akan memudahkan aktiviti penjawat awam,” katanya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");