Sukan Hari Ini

Misbun Sedia Ramuan Istimewa Untuk Jun Hao

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui mempunyai rancangan dan ramuan istimewa untuk Leong Jun Hao sekali gus berharap pemain itu tidak cepat berpuas hati dengan kejayaan muncul naib juara remaja dunia.

Menurutnya, rata-rata pemain remaja seperti Jun Hao mudah berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai sedangkan masih terdapat 40 peratus lagi ruang kosong untuk menjadi pemain berkaliber dan dia perlu bekerja keras bagi memenuhinya.

“Ini baru peringkat remaja, dia masih perlu meneruskan langkah untuk ke tahap seterusnya.

“Selepas berjaya muncul juara remaja Asia, kita mengharapkan dia mampu mencatat kemenangan di remaja dunia tapi sekurang-kurangnya dia sudah buktikan dia seorang pemain yang boleh kita harapkan selepas mara ke perlawanan akhir,” kata Misbun kepada BH Online.

Menurutnya, permainan Jun Hao masih belum cukup lengkap dan pemain berusia 18 tahun itu perlu dibimbing terutama dalam mencari formula bagaimana hendak menyusahkan dan mematahkan senjata lawan.

“Kita lihat dia sebagai permata yang perlu digilap dan diberi panduan. Jalan mana yang harus dia ambil dan dia perlu sedar perkara yang perlu dipertingkatkan.

“Kita mempunyai perancangan istimewa untuk Jun Hao dan mahu dia mempertingkatkan kedudukan rankingnya. Saya tidak mahu dia ambil sambil lewa dalam latihan dan kita juga akan terus memantau perkembangannya,” katanya.

Jun Hao hampir mengulangi pencapaian Zulfadli Zulkiffli muncul juara remaja Asia dan dunia pada tahun sama, namun dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia Ahad lalu dia tumpas kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");