Perak Hari Ini

Penemuan Tengkorak Di Tronoh Tiada Unsur Jenayah

IPOH – Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan empat tengkorak dan beberapa tulang manusia yang ditemui di dalam empat tempayan di kawasan bukit berhampiran Kampung Baru Nalla, Tronoh semalam tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohd Nasri Omar berkata tengkorak dan tulang itu kemungkinan daripada kubur lama yang dikorek secara tidak sengaja.

“Tulang-tulang itu didapati telah (mati) perpuluh-puluh tahun lalu kerana keadaannya yang sudah reput. Tulang-tulang yang ditemui itu tidak lengkap untuk cukupkan kepada empat manusia dan ada beberapa bahagian tulang lebih daripada sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata tengkorak dan tulang itu ditemui oleh kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) di dalam empat tempayan yang berada antara tiang elektrik di atas puncak bukit itu pada tengah hari semalam, sebelum memaklumkannya kepada pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya puncak bukit itu dikelilingi ladang sawit yang tidak lagi diusahakan dan di sebelah kiri tiang elektrik terdapat lombong lama yang sudah tidak beroperasi kira-kira 17 tahun serta jirat Cina yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi penemuan.

“Penduduk kampung berdekatan juga mendapati mereka tidak pernah mengetahui atau mendengar aktiviti melibatkan pemujaan serta tidak pernah mengetahui sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan tersebut kerana ia berada jauh dari kawasan perkampungan,” katanya.

Mohd Nasri berkata penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Cina menyatakan kemungkinan terdapat aktiviti pemindahan tulang-tulang nenek moyang atau saudara yang telah lama meninggal dan ditempatkan semula di kawasan yang mempunyai ‘feng shui’ yang lebih baik. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");