Perak Hari Ini

Perpustakaan Awam Negeri Perak Jalin Kerjasama Dengan PORT, Wujudkan Perpustakaan Bergerak ‘Hipster’.

IPOH: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak hari ini, menyerahkan aset alih kerajaan iaitu Bas Perpustakaan Bergerak kepada People of Remarkable Talent, Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) bagi tujuan pengambil alihan.

PORT diberi kepercayaan untuk mengubah suai bas tersebut dengan berkonsepkan ‘kafe mini sambil membaca’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, inisiatif ini disambut baik kerajaan negeri kerana ia bakal menarik minat ramai lagi masyarakat khususnya golongan muda bagi membudayakan sikap suka membaca.

 

“Hari ini sejarah tercipta apabila dua agensi telah bekerjasama buat julung kali dalam usaha merealisasikan perpustakaan bergerak baharu ini

“Bas ini merupakan aset bas lama oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

“Sebagai satu langkah pembaharuan dan pendekatan baharu, kita ucapkan syabas dan tahniah kerana PORT berani menyahut cabaran untuk mengambil alih dan menggunakan semula bas ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, dengan kewujudan perpustakaan bergerak yang bakal diubah suai kepada konsep ‘hipster’ ini, diharap ai bakal menjadi salah satu ikon terbaharu pelancongan negeri.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kunci Bas Bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di PORT Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini, pada Isnin.

Ia turut dihadiri Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Perak, Mohammad Nazari Abdul Hamid serta Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi.

Bas yang bakal ubah suai dengan kos sekitar RM 30,000 ini bakal dilengkapi dengan dapur, ruang pameran jualan barangan anak Perak, penghawa dingin, komputer beserta kemudahann jalur lebar mudah alih (WiFi), selain akan dicat baharu.

 

Pada masa sama, bahan bacaan yang disediakan Perpustakaan Awam Negeri Perak pula lebih menjurus kepada kesenian seperti muzik, lukisan, filem dan sebagainya.

Bas tersebut dijangkakan akan siap sebelum penghujung November dan bakal dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak,Salbiah Mohamed, yang ditemui berkata, jika sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat, mereka tidak menolak kemungkinan akan menambah lagi bilangan bas bagi tujuan yang sama.

Sehingga 2016, Perpustakaan Awam Negeri Perak menerima kunjungan seramai 1.3 juta di mana ia mengalami peningkatan sebayak 20% daripada tahun sebelumnya selain mempunyai lebih 300,000 ahli yang telah berdaftar secara atas talian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");