Membawang Hari Ini

Sangeeta Krishnasamy Kini Jadi Buruan

NAMA Sangeeta Krishnasamy tiba-tiba menjadi sebutan dan selepas kemunculannya sebagai Cikgu Cheryl menerusi filem Adiwiraku yang disifatkan sebagai jujur dalam lakonannya.

Lebih menarik perhatian, Sangeeta yang mula bergiat aktif sebagai pelakon sekitar 2011 ini telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) diikuti dengan kemenangan yang sama di Majlis Anugerah Pengkritik Filem 2017.

Adiwira adalah filem Melayu pertama Sangeeta yang sebelum ini hanya aktif terlibat dalam filem Tamil sahaja.

“Ketika menerima tawaran untuk filem Melayu ada juga rasa takut, tapi sebab tertarik dengan watak Cikgu Cheryl yang penuh inspirasi, saya beranikan diri mencuba.

“Tak sangka pula begini impak yang saya terima. Bukan saja watak itu diingati ramai tapi diiktiraf di majlis anugerah berprestij yang saya sendiri tak pernah impikan,” luahnya jujur.

Sangeeta sebenarnya bukanlah asing dalam dunia lakonan, malah dia telah membintangi lebih 10 filem dan drama Tamil selain aktif sebagai pengacara dan model iklan TV.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi filem, Vennira Iravugal ini juga pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di majlis Anugerah Malaysian Kalai Ulagam 2015 untuk dua kategori filem dan drama.

Kata anak kedua daripada empat beradik ini, pada awalnya dia lebih cenderung kepada teater dan juga penonton setia teater terutama yang dipentaskan di KLPAC.

Pelakon ini juga pernah mengikuti kursus lakonan teater selama 10 minggu bersama Faridah Merican sebelum bergelar artis.

“Tapi saya tak pernah datang uji bakat berlakon teater walaupun diminta hadir sebab fobia dengan uji bakat,” ujarnya sambil ketawa.

Menyedari diri semakin menjadi perhatian, Sangeeta terasa seperti memikul satu tanggungjawab baru kerana ramai yang menantikan penampilannya.

Bagaimanapun, Sangeeta yang fasih berbahasa Melayu enggan menjadikan itu satu tekanan, sebaliknya hanya mahu memberi yang terbaik kepada peminat.

Peminat Melayu jadi pengikut Instagram

Sangeeta juga tidak menolak akan memberi tumpuan kepada industri seni Melayu namun menegaskan lebih mengutamakan kualiti sebuah naskhah.

Popularitinya bukan sahaja mendapat banyak tawaran menyertai drama dan perhatian media berbahasa Melayu malah bilangan pengikut di laman Instagram Sangeeta naik mendadak.

“Selepas berlakon dalam Adiwira dan menang di FFM29, memang jelas Instagram saya dibanjiri peminat Melayu yang dilihat sangat positif menyokong kerjaya saya.

“Banyak sekali kata-kata yang buat saya hampir menangis terharu kerana tak sangka mereka begitu prihatin,” akuinya jujur lapor Sinar Harian.

Menyentuh perkembangan terbarunya, selain bakal muncul dalam filem Tamil, Identity dan Ennaval, Sangeeta juga tampil dalam musim terbaru, Oh My English; Level Up yang sudah mula bersiaran di saluran Astro Ceria mulai awal Oktober.

Imej guru masih ‘melekat’ pada Sangeeta apabila sekali lagi diberi watak itu dalam siri popular ini.

“Watak guru dalam Adiwiraku memang memberi impak besar pada saya. Budak-budak kecil pun menyapa saya dengan panggilan cikgu seolah-olah saya adalah guru sebenar,” kata graduan lulusan bidang Undang-Undang ini lagi.

Sambut Deepavali bersama keluarga

Menjelang Deepavali tidak lama lagi, Sangeeta tidak sabar untuk meraikannya bersama keluarga kerana sebelum ini mereka jarang berjumpa hingga ada yang merajuk dan tidak puas hati.

“Jadi sepanjang Deepavali ini saya harap dapat manfaatkan masa bersama keluarga dan janji sediakan masakan istimewa buat mereka,” katanya.

Pun begitu, setiap kali meraikan Deepavali, Sangeeta tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu terhadap neneknya yang meninggal lebih 10 tahun lalu.

“Hubungan saya dengan nenek sangat rapat, malah dialah yang mengajar saya membaca dan bertutur dalam bahasa Tamil kerana kedua ibu bapa saya hanya menggunakan bahasa Inggeris di rumah.

“Sementara saya dan adik beradik yang lain pula bertutur dalam bahasa Melayu kerana belajar di sekolah kebangsaan dan selesa menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");