Jenayah

Mahkamah Arah PM, Isteri Fail Pembelaan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan pembelaan mereka dalam tempoh 14 hari dalam kes saman oleh balu dan tiga anak mendiang penyiasat persendirian (PI) Bala Subramaniam.

Kes saman itu berhubung dakwaan keluarga PI Bala mereka mengalami kerugian dan hilang pendapatan susulan hidup dalam buangan di India antara 2008 hingga awal 2013.

Hakim Datuk Hue Sue Kheng menetapkan demikian selepas menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pembelaan berkenaan ketika kes itu disebut semalam.

Ketika ditemui pemberita, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili plaintif memaklumkan, mahkamah menolak permohonan penangguhan tersebut atas alasan tiada keadaan khas (special circumstances) untuk membenarkan permohonan itu.

“Pihak kami juga berhujah mengenai hak untuk plaintif mendapatkan keadilan.

“Sekiranya penangguhan dibenarkan, plaintif tidak mendapat hak yang sah di sisi undang-undang,” katanya lapor Sinar Harian.

Sehubungan itu, mahkamah telah menetapkan 1 November depan untuk defendan memfailkan pembelaannya selain menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes.

Pada Julai lalu, Santamil Selvi dan tiga anaknya memfailkan saman dan pernyataan tuntutan terhadap Najib, Rosmah dan lapan yang lain dengan mendakwa mereka berkonspirasi menyebabkan keluarga itu berpindah ke negara lain.

Mereka memfailkan saman sebanyak RM1 juta sebagai ganti rugi kehilangan pendapatan dengan mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India akibat penarikan balik akuan berkanun.

Sementara itu, pada Ogos lepas, Najib dan Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu sebelum mereka memfailkan permohonan bagi menangguhkan pembelaan pada 6 September lalu.

Antara alasan bagi permohonan tersebut adalah isteri dan anak-anak si mati tidak mempunyai kausa tindakan untuk memulakan tuntutan terhadap mereka berdua.

Selain itu, tuntutan tersebut juga dianggap mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");