shadow

PELAKON Janna Nick mengakui telah lama menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Menurut Janna, buat masa sekarang dia terpaksa melupakan sebentar hasratnya itu kerana sibuk menguruskan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon.

“Sejujurnya, jika ditanya apa yang saya paling rindukan, perkara tersebut adalah peluang untuk bergelar seorang pelajar semula.

“Namun begitu, buat masa sekarang, masa tidak mengizinkan saya untuk belajar kerana sibuk dengan kerja.

“Jika boleh saya mahukan kursus yang fleksibel kerana sekurang-kurangnya saya boleh mengimbangkan antara kerjaya dan pelajaran.

“Rasanya tak mustahil untuk saya cuba dan kalau boleh saya mahu menyambung pengajian dalam bidang perniagaan kerana saya memang minat untuk berniaga,” katanya kepada Astro Gempak.

Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian dan memperkenalkan duta produk Cassandra Beauty Dust, di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Janna kini memiliki sijil pengajian asasi dalam bidang pengurusan perniagaan daripada sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

Bercerita mengenai pelantikan sebagai duta Cassandra Beauty Dust, Janna berkata, dia bersyukur kerana diberikan kepercayaan dan kagum dengan keberkesanan produk itu dengan dirinya.

“Saya tidak akan sesekali menerima tawaran menjadi duta jika produk itu tidak bagus dan saya mengakui produk ini amat berkesan selepas menggunakannya,” ujarnya.

Komen & Pendapat