Sukan Hari Ini

Vingada Sedia Panggil Safee Tapi Bersyarat

KUALA LUMPUR: Pintu buat pemain berstatus ‘kuda tua’ masih belum tertutup rapat tetapi dengan syarat mereka yang berminat perlu membuktikan kemampuan dengan menyerlah pada aksi terakhir Liga Super, 28 Oktober ini.

Pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada berkata, beliau bersama barisan kejurulatihan akan menjadikan saingan terakhir kempen liga musim ini itu sebagai medan terakhir untuk memilih pemain bagi aksi keempat Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Larkin, 14 November ini.

“Saya berhajat memanggil lebih ramai pemain muda dari skuad B-22 (bawah 22 tahun negara) bagi aksi menentang Korea Utara bulan depan.

“Namun, tidak bermakna saya akan menutup pintu kepada pemain senior. Sekiranya tonggak senior itu mampu memperagakan aksi menarik dalam baki saingan liga, mereka wajar dipanggil semula.

“Apapun, fokus barisan kejurulatihan adalah memantau perlawanan separuh akhir Piala Malaysia dan Liga Super untuk mencari pemain dan membuat keputusan terbaik,” katanya lapor Berita Harian.

Skuad kebangsaan mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak susulan kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia, 10 Oktober lalu selain kejatuhan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke-170 berbanding di tangga ke-166 bulan lalu.

Malah, kekalahan terbaru di Hong Kong itu dikaitkan dengan ketiadaan penyerang yang cukup ekoran kecederaan yang menimpa pasukan hingga mengakibatkan skuad negara terpaksa beraksi tanpa penyerang.

Begitupun, bekas penjaring gol terbanyak Piala AFF 2010 lalu, Safee Sali tampil mendedahkan dia bersedia menggalas tanggungjawab di jentera serangan seandainya khidmatnya diperlukan Vingada.

Antara tonggak lama yang masih mampu beraksi di pentas tertinggi selain Safee ialah Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin, Ashari Samsudin dan Joseph Kalang Tie.

Menurut Vingada yang juga bekas jurulatih Arab Saudi itu lagi, antara alasan utama beliau tidak memanggil beberapa bekas pemain kebangsaan yang lain ialah kerana dasar polisinya yang mahu memberikan ruang kepada pemain muda.

”Bukan saya sifatkan mereka tidak bagus, namun saya mempunyai perancangan jangka panjang dengan memberikan pendedahan kepada pemain muda untuk menyerlahkan potensi mereka.

“Apa yang mungkin kurang pada sebahagian pemain muda ini ialah pengalaman, itu yang kami cuba tekankan kerana daripada segi potensi, mereka tidak banyak berbeza dengan pemain senior,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");