Berita Hari Ini

Zamihan Akur Titah Sultan Selangor

SHAH ALAM – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zain al-Ghari akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melucut tauliah mengajar ke atasnya.

Menurut Zamihan, beliau maklum akan keputusan tersebut dan sebagai rakyat biasa yang menjunjung tinggi institusi diraja beliau juga akur serta patuh kepada titah Tuanku.

“Saya menghormati keputusan tuanku dan baginda mempunyai hak serta berhak untuk membuat keputusan tersebut sebagai waliyyul amri ataupun seorang pemerintah.

“Begitu juga saya sekali lagi merafak sembah memohon maaf terhadap Tuanku Sultan, sekiranya terguris hati dengan tutur kata saya ketika menyampaikan ceramah agama. Sesungguhnya saya selaku rakyat biasa tiada niat untuk menghina institusi diraja melainkan hanya tanggungjawab menyebarkan syiar Islam,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Zamihan berkata, dia hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah, sekiranya khidmat itu dirasakan sudah tidak diperlukan, dia menghormati keputusan tersebut.

“Bagaimanapun saya akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai. Sesungguh perjuangan ataupun dakwah Islam tidak pernah terhenti.

“Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya hentikan adu domba dan sikap ingin melaga-lagakan sesama umat Islam, sebaliknya fokus kepada menolak ancaman dan tipu daya golongan yang benci kepada agama Islam dan umat Islam yang sememangnya suka melihat umat Islam bercakaran dan berpecah sesama sendiri,” katanya.

Titah berkenaan dibuat susulan tindakan Zamihan yang menyampaikan ceramah di sebuah masjid yang dikatakan berbaur perkauman dan menghina Sultan Johor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");