Berita Hari Ini

34 Lereng Bukit Diancam Tanah Runtuh

GEORGETOWN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang mengenal pasti sekurang-kurangnya 34 kawasan lereng bukit di sini, berisiko tinggi dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh.

Penasihat Unit Konsultansi Geoteknikal Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr Chin Yaw Ming, berkata semua kawasan terbabit terletak di kawasan perumahan dan rizab jalan di bahagian pulau, Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, data itu dibuat oleh JKR kira-kira lima tahun lalu dan kita yakin JKR sudah membaik pulih kawasan lereng bukit terbabit.

“Kita juga yakin angka itu sudah semakin berkurang berikutan banyak kerja pemeriksaan dan baik pulih lereng bukit sudah dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Mengulas lanjut, Yaw Ming, berkata pihaknya mengambil pelbagai inisiatif, termasuk mengguna pakai konsep keselamatan lereng bukit di Hong Kong, dalam memastikan semua lereng bukit di negeri ini selamat.

“MBPP juga melaksanakan Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit pada 2012, di mana ia diguna pakai sebagai rujukan utama bagi sebarang pembangunan baharu di kawasan bukit,” katanya.

Dalam tragedi runtuhan tanah di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, 21 Oktober lalu, 11 pekerja binaan maut, termasuk seorang mangsa rakyat tempatan.

Kerajaan negeri dan MBPP menyifatkan tragedi itu kemalangan di tapak pembinaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");