Sukan Hari Ini

Atlet Negara: Rokok Atau Program Podium?

KUALA LUMPUR: Kesemua atlet yang disenaraikan di bawah Program Podium akan diwajibkan menjalani ujian saringan merokok, satu kriteria baharu yang disenaraikan dalam kontrak bermula 2018.

Memetik laporan Bernama, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata kesemua atlet akan diminta melakukan ujian tertentu bagi mengesan sama ada mereka merokok atau tidak dan tidak ada yang akan dikecualikan daripada berbuat demikian.

Katanya, ujian saringan merokok dijadikan satu daripada kriteria pemilihan atlet selaras dengan matlamat program yang mahu melahirkan atlet Malaysia yang konsisten dan lestari.

“Mereka (atlet) perlu berhenti merokok. Kami ada peranti untuk mengesan mereka yang merokok. Kalau ada yang didapati merokok, mereka perlu berhenti atau terpaksa meninggalkan Program Podium.

“Sebelum ini kriteria merokok ini tidak disenaraikan…mungkin terlepas pandang. Tapi kali ini kami akan buat ujian. Kami kena tegas dalam perkara ini (merokok),” katanya kepada pemberita selepas pengumuman senarai terkini atlet Program Podium bermula Januari 2018 di Dewan Perdana ISN di sini hari ini.

Pengarah Program Podium Tim Newenham berkata atlet akan diberi notis enam bulan untuk berhenti merokok jika mereka memilih untuk kekal dalam program itu.

Beliau berkata jika atlet berhasrat untuk berhenti merokok, ISN akan membantu mereka.

“Kami telah memaklumkan isu ini enam bulan yang lepas dan kami telah membuat keputusan ini. Jika anda merokok, berhenti. Jika tidak, atlet boleh memilih satu daripadanya.

“Mereka harus membuat keputusan sama ada untuk berhenti merokok dan menyertai Program Podium. Mereka tidak boleh memilih kedua-duanya. Mereka boleh berhenti merokok dan menjadi atlet profesional, kami akan membantu mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam pengumuman hari ini, Tim berkata Jawatankuasa Program Prestasi Tinggi (HPCCC) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersetuju dan mengesahkan 39 atlet baharu, menjadikan jumlah 146 atlet dengan hoki adalah sukan baharu yang diserapkan dalam program itu dan kemasukan semula sukan menembak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");