Membawang Hari Ini

‘Kalau Ada Unsur Fitnah, Saya Akan Saman’

KEMUNCULAN kembali penghibur tanah air, Aishah mengubat rindu peminatnya.

Tidak hanya peminat lama, malah pelantun lagu Janji Manismu ini juga sebenarnya berjaya mencuri perhatian golongan muda.

“Lagu-lagu nyanyian saya pun dah makan tahun. Saya menyanyi dah 30 tahun. Jadi, sekarang ni, selain peminat yang sezaman dengan saya, harap-harap orang muda pun kenal la saya.

“Ada juga yang tahu lagu saya seperti lagu-lagu raya, cuma tak pernah tahu siapa penyanyi asalnya. Bila ada peluang macam ni, inilah masanya saya nak kenalkan diri,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam usianya 52 tahun, Aishah membuktikan usia itu benar-benar pada angka, tidak pada suaranya.

Aishah masih mampu menyanyi pada nada tinggi dengan baik. Menjadi peserta dalam program Gegar Vaganza, Aishah juga antara peserta yang sering mendapat markah tinggi.

“Susah sebenarnya saya nak menghafal lagu penyanyi lain kerana sebelum ini, kita hanya hanya lagu sendiri. Tapi, inilah cabaran kan, dalam masa tiga minit tu saya kena pastikan semuanya berjalan dengan baik.

“Lagi-lagi nak menyanyi lagu-lagu zaman sekarang ni, memang susah. Mana nak hafal melodi, lirik dan yang lain-lain, tapi saya akan terus mencuba selagi terdaya,” katanya.

Ditanya mengenai dunia hiburan hari ini di mana artis-artis tidak terlepas daripada sebarang kecaman memandangkan dunia digital hanya di hujung jari, Aishah seakan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“Saya akui, perkara ini agak baru dan sedikit sukar untuk saya membiasakan diri. Akaun Instagram saya yang sebelum ini hanya ada ratus-ratus sahaja pengikut, tetapi sejak masuk Gegar Vaganza, dah makin ramai.

“Itupun anak saya yang tengok-tengokkan. Kalau nak kata kecaman tu, saya ambil pendekatan begini saja, tak layan tapi kalau ada yang berunsur fitnah, saya akan saman saja.

“Buat apa nak bising-bising, kumpul bukti dan saman, senang. Kita kena tahu batasan kita dan perlu setiap orang menjaga batasan diri,” ujarnya.

Sementara itu, umum mengetahui Aishah juga aktif dalam politik tanah air dan kini ‘berehat’ sebentar daripada dunia politik.

“Saya suka fokus satu-satu. Sekarang adalah masa untuk saya menumpukan perhatian pada bidang nyanyian, jadi saya ketepikan hal-hal lain.

“Nanti, bila dah reda-reda, barulah boleh cerita pasal lain pula. saya pun baru nak aktif di depan kamera semula,” kata penyanyi yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");