Berita Hari Ini

Banjir: TPM Lancar Misi Bantuan RELA 2.0

PUTRAJAYA: Kerajaan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir bersandarkan asas kemanusiaan yang tinggi tanpa mengira sama ada negeri terbabit dipimpin parti politik yang berbeza, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keutamaan harus diberi kepada rakyat dan sekiranya ada pihak mempertikaikan kerajaan lambat atau tidak menyalurkan bantuan, kenyataan politik seperti itu tidak harus timbul.

“Apabila Perdana Menteri, saya sendiri, agensi dan jabatan kerajaan semua turun dan berada lebih awal daripada tindakan ‘menangis’ pemimpin itu ketika menghubungi saya, jadi jangan jadikan seolah-olah kita mahu tuding jari pada pihak lain, tapi tidak akui diri sendiri juga ada kelemahan.

“Sebab yang berlaku adalah daripada pembangunan melampau yang mana kelulusan kepada projek diberi daripada yang sepatutnya malah sungai tidak dapat menampung limpahan air selepas hujan lebih 17 jam.

“Kita tidak berhasrat untuk politikkan perkara ini tapi ini fakta atau realiti yang berlaku,” katanya berucap Majlis Pelancaran Misi Bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) 2.0 dan Penyerahan Sumbangan bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, Kedah dan Perak di sini hari ini, menurut laporan BH Online.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melepaskan konvoi misi bantuan Kelab Bantuan Bencana 4×4 Rimau Akar Putrajaya yang disertai 40 ahli kelab dengan 15 kenderaan pacuan empat roda bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Melalui misi terbabit, RELA menerima pelbagai sumbangan seperti barangan makanan keperluan asas, alat pembersih serta pemotong kayu yang berjumlah hampir RM90,000 bertujuan membantu proses pembersihan rumah.

Dengan kekuatan hampir 500 pegawai dan anggota serta aset termasuk 19 lori, 17 van, tujuh kenderaan pacuan empat roda serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), misi bantuan itu akan dimulakan di Pulau Pinang dan Kedah hari ini sementara negeri-negeri lain diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");