Membawang Hari Ini

Cabaran Bagi Kelayakan Piala Thomas Lebih Sukar

PASUKAN badminton negara akan berdepan saingan lebih sukar dari negara di peringkat Asia dan Asia Tenggara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah pada 6 hingga 11 Februari  tahun depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata ketua jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek dan ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit perlu bekerja keras dalam menyediakan pasukan yang mantap kerana kejohanan itu merupakan pusingan kelayakan Piala Thomas/Uber di Bangkok pada Mei 2018.

Beliau berkata cabaran pasukan negara bukan lagi dari China sahaja, tetapi India, Hong Kong, Taiwan, Thailand dan Indonesia kerana pasukan tersebut mempunyai barisan pemain muda yang lebih seimbang dan sedang meningkat naik.

“Walaupun Mortern Frost (bekas Pengarah Teknikal BAM) dulu kata pasukan negara boleh muncul juara, pada saya sasaran itu tidak tepat kerana beregu lelaki negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong telah dipisahkan.

“Jadi, kita harus bermula daripada awal dan meletakkan satu sasaran lebih realistik. Misbun dan Soon Kit perlu melihat daripada semua aspek bagi menaikkan semula prestasi pemain,” katanya ketika ditemu bual Bernama di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Mohamad Norza berkata pemilihan pemain profesional untuk mengisi slot skuad Piala Thomas juga perlu penilaian menyeluruh kerana keputusan perlu dibuat berdasarkan tahap kecergasan dan prestasi yang konsisten dan perlu mengikuti corak latihan di BAM.

Empat pasukan yang layak ke separuh akhir kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Berpasukan Asia itu akan mara secara automatik ke saingan Piala Thomas/Uber 2018.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");