Berita Hari Ini

Menteri Perumahan dilantik sebagai pemangku PM Mesir

KAHERAH – Mesir telah melantik Menteri Perumahan, Mostafa Madbouli, sebagai pemangku Perdana Menteri menggantikan Sherif Ismail yang berlepas ke Jerman untuk mendapatkan rawatan perubatan, lapor agensi berita China Xinhua memetik stesen penyiar rasmi Mesir pada Khamis.

Ismail bertolak ke Jerman pada awal Khamis untuk lawatan selama tiga minggu bagi membolehkan beliau menjalani satu pembedahan,” lapor agensi rasmi MENA.

Pada Rabu, jurucakap kabinet Ashraf Sultan memaklumkan media tempatan bahawa pembedahan Ismail adalah berkaitan sistem pencernaannya, sekali gus menyangkal khabar angin bahawa beliau kini menderita akibat tumor atau penyakit sedemikian.

Sementara itu, Madbouli pada Khamis berkata Presiden Abdel-Fattah al-Sisi telah menugaskan beliau ke jawatan pemangku perdana menteri sehingga Ismail selamat kembali daripada kunjungannya ke Jerman.

“Jurutera Sherif Ismail mendapat tempat di hati semua menteri dan beliau telah melakukan tugasan yang cemerlang sebagai perdana menteri,” lapor MENA memetik kenyataan menteri perumahan itu lapor Bernama.

Bercakap kepada kabinet, Madbouli berkata, peranan beliau ialah memastikan segalanya berjalan lancar sehingga Ismail kembali.

“Ismail menghubungi saya sebelum beliau berangkat dan menugaskan saya untuk melakukan beberapa perkara penting bagi pihaknya,” kata Madbouli sambil memberi jaminan bahawa semua mesyuarat kabinet akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Ismail berkhidmat sebagai menteri minyak dalam kerajaan yang baharu dibentuk susulan penyingkiran bekas Presiden Islam Mohamed Morsi pada Julai 2013, dan selepas membuktikan kebolehannya, beliau dilantik oleh President Sisi sebagai perdana menteri pada pertengahan September 2015.

Pada Jun 2015, menteri pengangkutan ketika itu telah dilantik sebagai pemangku menteri minyak menggantikan Ismail semasa beliau melakukan perjalanan, namun kerajaan tidak menyatakan sebarang butiran atau alasan berhubung perkara tersebut.

Pada awal Ogos, Ismail melakukan lawatan dua hari ke Jerman untuk menjalani beberapa “ujian perubatan,” sekali gus menimbulkan persoalan tentang keadaan kesihatan perdana menteri itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");