Membawang Hari Ini

Misi Mencari Pelawak Pelapis Dalam Lawak Solo Duo Trio

ASTRO WARNA mencari pelapis pelawak baru bagi program realiti Lawak Solo Duo Trio yang akan bersiaran mulai Januari depan.

Misi pencarian peserta berbakat akan diketuai pelawak solo terkenal, Douglas Lim selaku juri program realiti baru ini.

Selain Malaysia, produksi turut mengalu-alukan peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei yang berusia 18 tahun ke atas untuk mencuba nasib

Antara syaratnya ialah peserta berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

Menurut laporan Harian Metro, peserta diberikan kebebasan memilih tajuk menarik untuk dipersembahkan pada sesi uji bakat nanti dan tempoh persembahan diberikan adalah selama tiga minit.

Bagi memudahkan misi pencarian ini, sesi uji bakat akan dijalankan menerusi dua platform utama iaitu secara terbuka dan di dalam talian.

Sesi uji bakat terbuka akan berlangsung di Plaza Sentral Shah Alam pada 24 hingga 26 November ini, bermula jam 8.30 pagi.

Peserta perlu membawa bersama salinan kad pengenalan atau pasport dan sekeping gambar berukuran pasport bagi pendaftaran.

Manakala, uji bakat di dalam talian memerlukan peserta memuat naik video sketsa komedi mereka berdurasi satu minit di laman Instagram berserta hashtag #LawakSoloDuoTrio dan @zonlawak.

Peserta perlu menutup tetapan privasi akaun Instagram mereka sepanjang tempoh peraduan supaya pihak Astro Warna boleh melihat video.

Video sketsa lawak terbaik akan disenarai pendek dan peserta terpilih perlu hadir ke sesi uji bakat di Plaza Sentral Shah Alam untuk dinilai juri.

Penubuhan Lawak Solo Duo Trio adalah inspirasi daripada kejayaan program realiti komedi popular Raja Lawak, Maharaja Lawak Mega dan Super Spontan.

Lawak Solo Duo Trio berhasrat meneruskan kesinambungan kejayaan program berkenaan yang sudah melahirkan ramai pelawak berkualiti dan disegani antaranya Nabil Ahmad, Zizan Razak, Johan, Tauke Jambu, Jihan Muse, kumpulan Bocey dan Shiro.

Program realiti ini memperkenalkan format pertandingan berbeza yang pasti menghiburkan penonton.

Juara Lawak Solo Duo Trio musim pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");