Membawang Hari Ini

Najib Adakan Perbincangan Dengan 10 Pemimpin TPP

DA NANG (Vietnam) – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pertemuan dengan 10 pemimpin Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) untuk perbincangan sebelum majlis perasmian Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-25 di sini,
Sebelum menghadiri AELM pada 10 dan 11 November, Perdana Menteri juga akan menghadiri perjumpaan Pakatan Perniagaan AS-APEC dan terbabit dalam dialog bertajuk “Wawasan APEC Pasca-2020” pada Sidang Kemuncak CEO APEC.

Duta Malaysia ke Vietnam, M Zamruni Khalid berkata, Perdana Menteri akan membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Tran Dai Quang selepas ketibaannya pada Khamis.

Najib akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini adalah kali kedua Vietnam menjadi hos AELM, selepas mengadakannya di Hanoi pada 2006.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Najib juga akan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O’Neill bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu kepentingan bersama.

AELM ke-25 dengan tema, “Creating New Dynamism, Fostering a Shared Future” bertujuan memupuk perbincangan dalam menjana momentum untuk pertumbuhan dan integrasi ekonomi APEC bagi memanfaatkan peluang daripada revolusi perindustrian keempat dan membantu merealisasikan matlamat bersama kumpulan itu untuk membina komuniti yang aman, stabil, bersepadu dan makmur.

Semasa sidang kemuncak tersebut, pemimpin APEC akan membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama, terutama dalam konteks mencapai aspirasi Matlamat Bogor pada 2020.

Matlamat Bogor yang dipersetujui pemimpin APEC pada 1994, berusaha untuk mencapai “perdagangan dan pelaburan yang bebas serta terbuka” di rantau ini menjelang 2020.

“Pemimpin terbabit komited untuk menyuntik dinamisme baharu dalam kerjasama APEC bagi mengendali pertumbuhan mampan, inovatif dan inklusif, integrasi ekonomi serantau serta meneroka potensi penuh untuk sektor perniagaan,” kata Zamruni kepada media Malaysia di sini hari ini.

Semasa perhimpunan dua hari itu, Najib antara lain terbabit dalam Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC serta dialog tidak rasmi antara APEC dan ASEAN serta dua sesi pemukiman.

Dalam pemukiman pertama, pemimpin APEC akan mengadakan perbincangan bertajuk “Pertumbuhan Inovatif, Pekerjaan Terangkum dan Mampan Dalam Era Digital”.

Pemimpin terlibat akan mengadakan perbincangan mengenai “Pemacu Baharu Untuk Perdagangan Serantau, Pelaburan dan Kesambungan” dalam pemukiman kedua.

Pada akhir sidang kemuncak berkenaan, mereka akan membuat Deklarasi Pemimpin-Pemimpin APEC Ke-25.

Sebelum menamatkan lawatan kerjanya ke Da Nang, Najib juga akan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia dalam satu majlis makan malam.

Zamruni berkata, Malaysia telah menjadi rakan kongsi APEC yang aktif dan akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC buat kali kedua pada 2020.
“Ia mencerminkan komitmen Malaysia kepada pembaharuan komprehensif, integrasi perdagangan antarabangsa dan sumbangan proaktif bagi membentuk mekanisme kerjasama serantau dan pelbagai hala,” tambahnya.

Malaysia menjadi tuan rumah AELM Ke-10 pada November 1998.

Ditubuhkan pada 1989, APEC bermatlamat untuk membangun dan mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala serta menggalakkan integrasi ekonomi serantau dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Dengan 21 negara anggota, ia mempunyai 2.8 bilion penduduk dengan menyumbang kira-kira 59 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia dan 49 peratus daripada perdagangan global. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");