Berita Hari Ini

Pemandu Cuai Bakal Dikenakan Mandatori Penjara

BENTONG: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji pelaksanaan hukuman penjara mandatori kepada pemandu cuai yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain sebagai satu pendekatan yang lebih radikal dalam membendung peningkatan kes kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan sentiasa memberikan komitmen berterusan dalam menguatkuasakan undang-undang di negara ini agar pengguna jalan raya lebih berhemah dan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita tahu bahawa kelajuan membunuh dan masalah kemalangan jalan raya meningkat setiap hari sehingga kita terpaksa mengadakan pelbagai langkah dari segi kempen kesedaran, pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan jalan dan sebagainya yang dilaksanakan berkali-kali.

“Jadi kita akan mengkaji cadangan sebegini sama ada ia memenuhi kehendak rakyat kerana dalam negara kita semua dasar-dasar yang dibuat perlu mememnuhi aspirasi rakyat dan aspirasi negara,”katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Amal ‘Moh Kita Sihat’ di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Majlis Perbandaran Bentong di sini, hari ini, menurut laporan Sinar Harian.

Turut hadir sama, Pegawai daerah, Datuk Azhar Arshad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Mohammad Shahid Ismail dan Pengarah Hospital Bentong, Dr. Kamariah Ghazali.

Pada 5 November lalu, media tersebut telah melaporkan bahawa Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan hukuman penjara mandatori kepada pemandu cuai yang menyebabkan kematian penumpang bas tidak berdosa atau pengguna jalan raya lain.

Lam Thye berkata, langkah mengenakan hukuman penjara mandatori adalah amat tepat pada masanya kerana penumpang dan orang awam terdedah kepada bahaya atas sikap cuai pemandu bas dan kenderaan berat lain.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, meskipun terdapat undang-undang yang boleh mengenakan hukuman penjara kepada pemandu cuai pada masa ini tetapi hukuman penjara mandatori masih belum dilaksanakan.

Menurutnya, kebanyakan pemandu yang didapati bersalah melanggar peraturan jalan raya pada masa ini dikenakan hukuman kompaun atau digantung lesen memandu.

“Sekarang terpulang kepada kebijaksanaan hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara yang mana banyak individu dikenakan hukuman penalti tetapi hukuman penjara agak kurang kecuali  kemalangan maut yang melibatkan ramai mangsa terkorban,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");