Jenayah

Pemandu Uber Ditahan Curi Di Masjid Dan Surau

GEORGE TOWN – Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pemandu Uber ditahan semalam kerana disyaki mencuri di Masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan pukul 6 petang oleh bahagian keselamatan USM dan menyerahkannya kepada polis.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati wanita terbabit turut terlibat dalam kes mencuri di surau Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Wanita itu bergerak seorang diri dan menjadikan masjid dalam USM serta surau di HPP sebagai sasaran melarikan beg tangan serta barang berharga jemaah wanita lain yang sedang bersolat.

“Berdasarkan siasatan polis, wanita yang mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 17 tahun itu terlibat sekurang-kurangnya dalam 20 kes curi beg serta barang di masjid dan surau berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan penahanan itu, polis merampas sejumlah beg tangan, telefon bimbit dan beberapa keping surat pajak gadai serta telefon bimbit yang telah dijual.

Suspek yang terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini mengaku mengalami masalah kewangan selepas berhutang RM10,000 hingga RM20,000 dengan along, katanya.

Anuar berkata wanita yang turut positif dadah dan mempunyai empat rekod jenayah itu direman sehingga 24 Nov ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan seorang warga emas berusia 61 tahun yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak tahun lepas dan merampas empat motosikal curi dalam serbuan di rumahnya di Jalan Kota Giam, Jelutong semalam.

“Dalam serbuan pukul 3 pagi itu, polis menahan lelaki yang mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan merampas empat buah motosikal yang disembunyikan di bahagian dapur rumahnya,” katanya.

Beliau berkata suspek mengaku terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak tahun lepas di kawasan George Town dan Jelutong sebelum meleraikan komponennya atau menjual terus motosikal itu kepada geng mat rempit. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");