Berita Hari Ini

Pemimpin ASEAN mahu Myanmar tangani isu Rohingya

MANILA: Pemimpin ASEAN mahu kerajaan Myanmar terus melaksanakan saranan dalam laporan akhir Suruhanjaya Penasihat mengenai Wilayah Rakhine dan mengambil langkah menangani krisis pelarian Rohingya.

Dalam kenyataan Pengerusi dikeluarkan dua hari selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, kumpulan pemimpin menyatakan sokongan terhadap program bantuan kemanusiaan Myanmar serta menyambut baik pelancaran mekanisme diterajui negara itu dengan kerjasama Pertubuhan Palang Merah serta masyarakat antarabangsa, menurut laporan Bernama.

Mereka menegaskan kepentingan meningkatkan akses kemanusiaan ke kawasan terjejas dan bantuan diberi kepada semua komuniti terbabit.

Kenyataan bagaimanapun tidak menyebut etnik Rohingya secara terus-terang sebaliknya menyentuh situasi di utara Rakhine, menyaksikan lebih 600,000 etnik itu lari ke Bangladesh susulan tindakan ketenteraan terhadap pemisah yang menyerang tiga pos polis 25 Ogos lalu.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu, berkata usaha negara mengetengahkan penderitaan Rohingya, etnik minoriti, berbaloi apabila kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) bersuara.

Suruhanjaya diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, mengesyorkan antaranya, Myanmar mengambil langkah kukuh mengakhiri pemisahan antara penganut Buddha Rakhine dan Rohingya.

Selain itu, memastikan akses penuh tanpa sekatan bantuan kemanusiaan ke seluruh wilayah, menangani isu tiada kerakyatan Rohingya dan ‘meneliti semula’ Akta Kewarganegaraan 1982.

Dalam kenyataan itu, ASEAN turut berkata, ia mengalu-alukan komitmen Myanmar bagi memastikan keselamatan orang awam, mengambil langkah segera menamatkan keganasan di Rakhine, memulihkan sosio ekonomi serta isu pelarian melalui proses pengesahan.

Mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan Myanmar dalam usahanya membawa keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang serta menganjurkan keharmonian dan perdamaian antara pelbagai komuniti serta pembangunan saksama dan mapan di Rakhine.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");