Berita Hari Ini

Myvi Baharu Peroleh Penarafan Keselamatan Lima Bintang

PUTRAJAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) hari ini melancarkan Perodua Myvi baharu yang telah memperoleh tempahan awal sebanyak 5,000 unit serta penarafan keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP sekali gus menjadikannya sebagai kenderaan yang berbaloi untuk nilai wang dalam lingkungan harganya.

Perodua menawarkan lima va­rian Myvi serba baharu berkapasiti enjin 1.3 liter hingga 1.5 liter dengan harga bermula daripada RM44,300 sehingga RM55,300 sebuah tidak terma­suk insurans yang kini mula dijual di pusat-pusat pameran Perodua seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, 78 peratus daripada 5,000 unit tempahan awal itu melibatkan model berkapasiti enjin 1.5 liter manakala selebihnya adalah 1.3 liter.

Beliau menjelaskan, model baharu itu menawarkan teknologi moden, rekaan berteras keremajaan (youthful), ruang versatil dan keselamatan pintar menggantikan model sebelumnya yang merupakan model paling banyak dijual di Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

“Model baharu ini adalah rekaan oleh kita sepenuhnya. Ia adalah hasil rekaan 59 pereka tempatan. Tidak timbul soal mengambil dari pihak lain. Kalau ada persamaan secara kebetulan tetapi kita telah melalui sejumlah mesyuarat untuk kelulusan reka bentuknya. Kita bukan syarikat ‘rebadge’.

“Kereta baharu ini mengetengahkan teknologi yang sebelum ini hanya terdapat pada kereta-kereta premium. Myvi baharu ini juga menetapkan penanda aras untuk kita dalam aspek kualiti, reka bentuk dan tawaran keseluruhan untuk model masa depan kita,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran model tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini, seperti dilaporan Utusan Online.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa; Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd., Soichiro Okudaira.

Dalam pada itu, Asmat ketika berucap memberitahu, Perodua sejak penubuhannya pada 1994 telah mengeluarkan sebanyak 3 2 bilion unit kenderaan secara keseluruhannya.

“Model baharu Myvi ini juga mendapat sambutan daripada pembeli dengan tempahan awal sebanyak 5,000 unit. Ini menunjukkan sokongan terhadap keupayaan kita dan ini juga petanda bahawa kita perlu terus menjalankan tanggungjawab kita,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");