Berita Hari Ini

Persediaan Hadapi Kemungkinan Gelombang Kedua Banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah membuat persediaan untuk menyalurkan bantuan perkhidmatan kesihatan sekiranya berlaku gelombang kedua banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kementerian mempunyai prosedur operasi standard untuk memberikan rawatan berterusan bagi memastikan penyakit berjangkit tidak berlaku dalam kalangan mangsa banjir.

“Banjir di Pulau Pinang adalah banjir jangka masa pendek. Apa yang penting, saya telah memberi arahan kepada semua pengarah kesihatan negeri supaya mengambil tindakan berjaga-jaga dan bersiap siaga memastikan perkhidmatan kesihatan sentiasa berterusan.

“Apa yang penting, kami akan terus melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dan wabak di negeri-negeri terjejas banjir terutamanya di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai persiapan kementerian menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir.

Dr Noor Hisham ditemui selepas melancarkan dua bengkel Keselamatan Penggunaan Radiasi di Hospital Kementerian Kesihatan dan Hospital Swasta dan penggunaan dos optimum dalam pengesanan dan rawatan pesakit bersempena Hari Radiologi peringkat antarabangsa yang disambut pada 8 November setiap tahun, di Institut Kanser Negara, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua pihak bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan gelombang kedua dan ketiga banjir berikutan perubahan cuaca pada bulan ini sehingga Februari depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di Pulau Pinang dan beberapa daerah di Perak dijangka berterusan sehingga awal petang ini, yang membabitkan daerah-daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga berkata tiada peningkatan kes secara mendadak dilaporkan di mana-mana hospital dan pusat kesihatan membabitkan penyakit disebabkan oleh banjir walaupun kemungkinan terdapat satu atau dua kes.

“Kami menasihatkan orang ramai jangan mandi air banjir kerana ia adalah air yang kotor dan terutamanya mereka yang mempunyai luka terbuka. Ia boleh menyebabkan mereka mendapat penyakit seperti cirit-birit atau psoriasis (penyakit kulit),” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham, dalam ucapan perasmiannya berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam meningkatkan kesedaran berhubung keselamatan radiasi di fasiliti kesihatan yang perlu dijadikan budaya dalam kalangan anggota kesihatan.

“Keselamatan pesakit dan juga kakitangan kesihatan adalah sangat mustahak dan harus dijaga pada setiap masa. Kita perlu sentiasa fokus kepada penggunaan radiasi yang minimum dalam kecemasan dan hanya digunakan apabila diperlukan dalam rawatan pengesanan atau penyembuhan penyakit terutamanya kanser.

“Kita tidak menggunakan radiasi hanya kerana pesakit mempunyai insurans dan boleh bayar. Kita hanya perlu menggunakan radiasi kepada pesakit sekiranya perlu dan tidak semestinya pesakit perlu menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) atau pengimbasan tomografi berkomputer (CT scan). Kita mahu minimumkan tahap penggunaan radiasi pada pesakit,” katanya.

Oleh itu, katanya latihan disediakan WHO dan IAEA amat penting bagi anggota perubatan untuk meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan radiasi yang memerlukan penggunaan optimum dan dos minimum bagi menjamin keselamatan pesakit tanpa menjejaskan standard dan kualiti perubatan.

Pada bengkel yang dihadiri kira-kira 300 profesional perubatan dari dalam dan luar negara itu, Dr Noor Hisham turut melancarkan Garis Panduan Pengimejan Klinikal Dalam Radiologi. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");