Berita Hari Ini

Pihak Berkuasa Gagal, Kata Kumpulan ‘Serbu Dan Nasihat’ Di Sungai Petani

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan di Kedah yang mengadakan serbuan untuk menghalang umat Islam daripada berkunjung ke “pusat mungkar” berkata mereka berbuat demikian kerana tiada tindakan daripada pihak berkuasa agama mahupun pihak berkuasa tempatan.

Kumpulan yang dikenali sebagai “Skuad Badar” dan disertai lebih 200 ahli itu baru-baru ini mengundang publisiti apabila menyerbu sebuah kafe siber di Sungai Petani.

Mereka kemudian mengumpulkan umat Islam di situ, kebanyakannya kanak-kanak dan remaja, sebelum menyampaikan “tazkirah” dan membawa mereka ke masjid berdekatan.

Azhar Mohamad yang mengetuai kumpulan itu berkata Skuad Badar turut menyerbu rumah urut, mesin judi, motel dan hotel yang dipercayai terlibat dalam pelacuran dan perkhidmatan berbaur seks.

Beliau mendakwa pihak berkuasa berdolak dalih dalam mengambil tindakan.

“Kami tengok orang awam dah buat laporan bertahun-tahun dan tidak ada sebarang tindakan terhadap premis seperti ini,” katanya kepada FMT.

Azhar berkata pihaknya menerima aduan orang awam yang pejabat agama tidak ambil kisah mencegah kegiatan haram seperti itu.

“Patutnya ini kerja mereka tapi mereka tak ambil tindakan, kami NGO Islam terpaksa ambil tindakan,” katanya.

Masih tak berdaftar

Azhar turut kesal kerana kumpulan itu masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) walaupun sudah 2 tahun dikemukakan.

“JPPM melambatkan permohonan dan berikan alasan bermacam-macam,” katanya.

Azhar berkata aktiviti mereka turut mengundang ugutan oleh mereka yang didakwa terlibat dalam kumpulan gangster.

“Kami mendapat ancaman tembak dan cuba disakiti oleh kumpulan-kumpulan gangster di Sungai Petani 2 bulan lepas

“Tapi sedikit pun kami tak gentar. Ancaman itu kami anggap untuk menambah kekuatan kami,” katanya, yang berkata ancaman itu susulan serbuan kedai mesin judi di Sungai Petani.

‘Tiada masalah jika nasihat’

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan menghalang Skuad Badar sekiranya aktiviti mereka sekadar memberi nasihat kepada umat Islam.

“Mereka nak beri nasihat kepada budak-budak main game di kafe siber itu tidak ada masalah atas dasar seorang Muslim dan ia tidak melibatkan bukan Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Asri berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sekiranya ada perbuatan yang melangkaui kuasa.

“Kalau mereka bertindak dengan menutup kedai dan sebagainya, itu tidak boleh sebab itu kerja pihak berkuasa seperti polis untuk bertindak. Lagi pun mereka ada lesen berniaga, mana boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Menurutnya, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung Skuad Badar.

Asri berkata polis pernah memanggil kumpulan itu sebelum ia melakukan operasi mereka.

“Sebelum mereka nak lakukan aktiviti itu, kita sudah panggil mereka bersama pegawai daerah Sungai Petani,” katanya.

FMT cuba menghubungi exco Kedah yang bertanggungjawab hal ehwal agama, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, tetapi tidak mendapat respon.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");