Berita Hari Ini

Putera Charles Puji Pentadbiran Malaysia

KUALA LUMPUR: Prince of Wales, Putera Charles, kagum dengan keupayaan Malaysia yang bukan sahaja menjadi ikutan negara di rantau ini dalam pelbagai bidang, malah cara pentadbiran negara di peringkat antarabangsa.

Pewaris takhta Britain bertitah, reputasi Malaysia di peringkat global dicapai menerusi persefahaman dan perpaduan merentasi sempadan agama dan masyarakat.

Memetik laporan BH Online,Putera Charles menyifatkan keupayaan itu adalah aset amat berharga, yang semakin hilang di dunia ini.

“Tonggak untuk reputasi sedemikian, bukan sahaja saling menghormati dan kebolehan bertolak-ansur, malah meraikan perbezaan dan kepelbagaian dalam setiap aspek tanpa mengira relevan atau tidak dalam situasi dunia yang serba tidak menyenangkan, hari ini,” titahnya.

Putera Charles menyampaikan titah pada Majlis Makan Malam Gala, yang dihoskan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, di ibu kota, malam tadi.

Turut berkenan mencemar duli, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri dan timbalan menteri, Ahli Parlimen dan orang kenamaan.

Putera Charles turut bertitah, persahabatan dinamik dan positif United Kingdom (UK) dan Malaysia adalah sejarah yang perlu diperkukuhkan supaya terus makmur dan berjaya pada tahun mendatang.

Titahnya, pemilihan Malaysia sebagai ahli negara Komanwel menjadikan hubungan antara kedua-dua negara sangat istimewa, yang perlu dijaga bagi membangunkan kepercayaan dan keutuhan jalinan bagi kejayaan serta keselamatan bersama.

“60 tahun kemerdekaan adalah jelas bahawa penghormatan dan persefahaman sebagai asas kuat yang ditekankan apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada negara Komanwel, termasuk perkongsian prinsip, nilai yang kuat dan visi masa hadapan bersama.

“”Perdagangan dan pelaburan dua hala antara UK dan Malaysia membuka peluang pekerjaan, pekerja berkemahiran tinggi, bukan sahaja di UK, tetapi begitu juga di Malaysia.

“Kerjasama pertahanan dan keselamatan yang dilaksanakan ketika ini adalah kemuncak untuk memastikan keselamatan semua rakyat.

“Perjanjian Pertahanan Lima Negara adalah perkara yang dinanti-nantikan apabila saya mengunjungi pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di Butterwoth, Pulau Pinang, minggu hadapan, termasuk perbincangan menangani keganasan dan ancaman kepada kita semua,” titahnya.

Baginda turut meluahkan, beliau bersama isteri, Duchess of Cornwall, Camilla, sudah lama memendam hasrat mengunjungi Malaysia.

Titahnya, lawatan ini bukan sahaja istimewa secara peribadi kepada baginda dan isteri, malah untuk meraikan ikatan persahabatan utuh antara semua rakyat.

“Saya tidak boleh gambarkan rasa berbesar hati saya dan isteri dijemput ke Malaysia meraikan 60 tahun kemerdekaan dan hubungan diplomatik antara UK dan Malaysia,” katanya.

Putera Charles dan Camilla yang tiba di Malaysia, kelmarin dijadualkan mempunyai jadual lawatan padat sepanjang tujuh hari, di sini, bermula 2 November hingga 8 November.

Antara lokasi yang dijadualkan dilawati baginda dan isteri adalah Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");