Membawang Hari Ini

Sherry Al Hadad Mahu Bukti Kemampuan

PENGLIBATAN wanita ini di dalam industri seni bukan baru bermula setahun dua sebaliknya sudah lebih sedekad.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peminat menyedari kehadiran Sherry Alhadad.

Tidak hanya berbakat dalam bidang lakonan baik di pentas teater mahu pun di kaca TV, wanita 33 tahun ini telah meletakkan dirinya pada tahap tersendiri apabila dipilih menjadi pengacara beberapa program TV popular.

Mengakui pernah berputus asa berada di dalam industri, pemilik nama sebenar Sharifah Mariam Syed Abdullah Al Hadad tidak menunggu lama untuk bangkit membuktikan kemampuan dirinya.

“Apa yang boleh saya katakan, seni adalah kehidupan saya. Saya rasa, saya tak reti buat benda lain selain bidang seni.

“Malah sejak kecil lagi, saya sudah mengimpikan untuk berada di lapangan ini. Selalunya saya paksa kawan-kawan tengok persembahan saya.

“Kalau mereka tak mahu, saya akan belasah mereka. Saya ala-ala Giant dalam cerita Doraemon,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sedar bahawa sesuatu kejayaan tidak datang bergolek, anak jati Kuala Lumpur ini terus berusaha memperbaiki diri dan mengutip ilmu untuk diguna di kemudian hari.

“Tidak dinafikan, masyarakat kita hari ini ada taboo. Selalu rasa rendah diri, lebih-lebih lagi golongan berbadan besar seperti saya.

“Tapi apa yang saya belajar dan percaya, sebelum mencintai orang lain, kita kena mencintai diri sendiri dulu.

“Kita kena percaya dan yakin dengan apa yang kita buat. Malah saya sendiri suka melihat perkara-perkara yang boleh menjadi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.

Atas faktor itu, mendorong Sherry memberanikan diri melangkah setapak ke hadapan mengemudi rancangan bual bicaranya sendiri, The Sherry Show.

Program tujuh episod ini sudah disiarkan bermula 19 November lalu selama satu jam setiap hari Ahad, jam 10 malam untuk tiga episod.

Bermula 9 Disember, program ini akan bersiaran setiap Sabtu, jam 10 malam di saluran sama, TV3.

Sherry akan berinteraksi secara lebih eksklusif bersama penonton menerusi beberapa segmen menarik seperti Cer Citer, Ada Berani? Ok Mari!, 11 Soalan, Sidekick dan Kerusi Panas.

“Bila ditawarkan program ini, saya memang gementar. Saya bimbang tidak dapat beri apa yang mereka mahu.

“Apatah lagi saya diberi kepercayaan mengemudi rancangan menggunakan nama sendiri. Saya bukan saja bawa nama sendiri, tapi juga nama stesen TV.

Bagaimanapun, kata Sherry, selepas penggambaran empat episod, dia semakin selesa kerana mereka (produksi) memberi kebebasan untuk mengemudi program ini dengan cara sendiri.

“Malah sejak dulu lagi, saya tidak pernah ambil mudah dengan kerja saya. Apa yang saya harapkan menerusi program ini, saya akan dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya yang menyifatkan penglibatannya dalam program ini sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Percaya pada rezeki

Di tanya tidakkah dia bimbang andai tidak dipanggil stesen TV lain selepas ini, kerana mereka beranggapan Sherry telah jadi hak eksklusif stesen TV lain, graduan dari Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara) ini menidakkannya.

“Saya percaya pada rezeki. Rezeki itu ada di mana-mana. Sejak awal lagi, saya adalah antara artis yang struggle untuk mencipta nama.

“Jadi bila ada yang mempercayai saya, saya anggap itu rezeki saya. Bila kita bekerja dengan baik, orang percaya dengan kita,” katanya yang mengutamakan penjagaan disiplin, hormat menghormati dan bekerja dalam kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, dia akan kembali mengemudi program Perang Bibir tahun hadapan.

Disebabkan sibuk dengan tugasnya sebagai pengacara, Sherry mengakui rindu untuk kembali berlakon dan kali terakhir muncul menerusi drama Misteri Wan Peah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");