Berita Hari Ini

‘Wang PR’ Lindungi Judi Haram Akan Dijejaki

KUCHING: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai polis yang bersekongkol dengan sindiket judi haram.

Malah amaran Timbalan Perdana Menteri itu turut ditujukan kepada semua anggota dan pegawai agensi penguat kuasa lain yang turut terbabit dalam usaha membanteras kegiatan judi haram di negara ini.

“Jika benar dakwaan ada anggota dan pegawai penguat kuasa meminta ‘Wang PR’ bagi melindungi sindiket perjudian haram ini, kita akan siasat dan ambil tindakan keras terhadap mereka.

“Kita tidak akan ‘beri muka’ atau berkompromi dalam hal sebegini kerana ia boleh menjejaskan usaha membersihkan negara daripada menjadi sarang perjudian haram,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak, di sini.

Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Kenyataan beliau sebagai mengulas laporan media mengenai kewujudan ‘orang tengah’ yang menjadi dalang utama sindiket perjudian haram di negara ini.

Malah, ‘orang tengah’ berkenaan dikatakan membayar rasuah RM500,000 hingga RM3 juta sebulan kepada anggota dan pegawai penguat kuasa agar tidak ‘mengganggu’ kegiatan haram mereka.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong penuh usaha pemerkasaan integriti dilaksanakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kalangan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), khusus bagi memerangi sindiket perjudian haram.

“Kita sentiasa berada di belakang beliau (Fuzi) dan menyokong penuh usaha itu. Beliau juga sudah mengeluarkan arahan tidak akan ada kompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan sindiket perjudian haram.

“Malah, kita tidak akan melindungi mana-mana anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam kegiatan sedemikian, begitu juga agensi penguatkuasaan lain. Ini termasuklah sindiket perjudian haram yang beroperasi secara atas talian,” katanya.

Kerajaan melalui KDN cukup serius dalam menangani kegiatan perjudian haram di negara ini kerana dikenal pasti sebagai punca utama masalah sosial, terutama dalam kalangan generasi muda, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Sementara itu, beliau berkata, isu kewarganegaraan membabitkan rakyat Sarawak yang masih belum memiliki MyKad dan MyKid akan diselesaikan segera oleh KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, satu pasukan khas juga sudah ditubuhkan bagi menangani isu berkenaan di bawah penyelarasan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

“Di Sarawak, masih ada warganegara belum memiliki kad pengenalan dan sijil lahir. Ini pasti menyukarkan anak-anak untuk bersekolah atau menerima bantuan berkaitan, selain susah untuk mencari pekerjaan apabila dewasa.

“Kebanyakan kes berlaku di kawasan pedalaman dan luar bandar membabitkan etnik Bumiputera. Ini kita ambil serius dan meminta JPN menyelesaikan isu ini sebelum 1 Disember ini bagi mereka yang sudah memohon dokumen pengenalan diri itu,” katanya.

Bagi permohonan baharu yang layak dan lengkap dokumentasi berkaitan, proses itu akan diselesaikan selewat-lewatnya menjelang September 2018.

“Datuk Masir (Kujat) akan memantau rapi perkembangan isu ini kerana ia membabitkan masa depan rakyat, terutama anak-anak kita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");