Sukan Hari Ini

5 Pemain Ke Mokpo

KUALA LUMPUR: Lima pemain skuad Bawah 19 tahun (B-19) dipilih menyertai skuad Bawah 23 tahun (B-23) untuk mengharungi latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan bermula Ahad hingga 30 Disember ini.

Lima pemain muda itu yang berjaya mengetepikan pemain lebih senior adalah pertahanan Shivan Pillay Asokan; penyerang Hadi Fayyadh dan Akhyar Rashid serta pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan K Thivandaran.

Situasi itu menyaksikan tiga pemain yang turut menjalani latihan pusat tempatan selama tiga minggu di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terlepas ‘tiket penerbangan’ ke negara itu selepas digugurkan pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee.

Tiga pemain itu adalah penjaga gol, Amierul Hakimi Awang dan penyerang, Sean Eugene Selvaraj serta pemain tengah, Danial Ashraf Abdullah yang mengalami kecederaan.

“Selepas mengambil kira semua faktor, satu keputusan yang amat sukar untuk saya lakukan. Namun saya terpaksa membuat keputusan untuk menggugurkan Amierul Hakimi dan Sean Eugene bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke Korea Selatan,” kata Kim Swee, menerusi laporan BH Online, hari ini.

Sebelum ini, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menggugurkan penyerang, Syafiq Ahmad daripada senarai 30 pemain yang dipanggil atas faktor kesuntukan masa memandangkan pemain itu hanya dapat melapor diri lewat kerana melangsungkan perkahwinan.

Skuad 26 pemain ke Mokpo itu akan berlepas pada awal pagi Ahad ini bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan dengan kelab Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University pada 22 Disember dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.

Kemudian Kim Swee akan menggugurkan tiga lagi pemain bagi melengkapkan senarai akhir skuad 23 pemain ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 apabila mereka berlepas dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Disember untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

 

Berikut adalah senarai Pemain Skuad B-23

Penjaga gol: Haziq Nadzli, Ifwat Akmal Chek Kassim, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed

Pertahanan: Irfan Zakaria, Adib Zainudin, Shivan Pillay Asokan, Raphi Azizan Mariappen, Syazwan Zaipol Bahari, Adam Nor Azlin, Dominic Tan

Tengah: K Thivadaran, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Daniel Amier Norhisham, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari, Tommy Mawat Bada, Syazwan Andik Ishak, Matthew Davies

Penyerang: Jafri Firdaus Chew, N Thanabalan, Akhyar Rashid, Hadi Fayyadh, R Kogileswaran, Safawi Rasid

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");