Berita Hari Ini

Doktor Pelatih Mungkin Jalani Latihan Di Hospital Universiti Swasta

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang mempertimbang cadangan untuk membenarkan doktor pelatih menjalani latihan di hospital universiti perubatan swasta sekiranya ia memenuhi syarat ditetapkan kementerian.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata antara syarat berkenaan adalah mempunyai cukup pesakit, katil dan jabatan pakar.

“Sekiranya semua syarat itu dipenuhi, tiada masalah bagi doktor pelatih menjalani latihan di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah di hospital pertama Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) di sini, hari ini.

Menurut laporan Bernama, Dr Subramaniam berkata cadangan itu masih dibincangkan dan mungkin dilaksanakan pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor IMU Profesor Abdul Aziz Baba berkata hospital IMU memberi tumpuan sepenuhnya kepada pesakit bermula dari proses dan prosedur rawatan termasuk pakar.

“Pesakit akan mendapat akses kepada peralatan dan kemudahan terkini serta dirawat oleh beberapa pengamal perubatan terbaik negara, yang merupakan sebahagian daripada universiti ini,” katanya.

Hospital IMU, yang dibangunkan dengan anggaran kos antara RM150 juta dan RM200 juta, akan dibina di kawasan bersebelahan dengan universiti itu dan disasarkan untuk beroperasi pada 2021.

Fasa 1 hospital itu akan mempunyai 96 katil, tiga dewan bedah, bilik rawatan kecemasan, 22 klinik pakar dan dua klinik kesihatan. Ia akan diperluas secara berperingkat hingga mempunyai 312 katil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");