Perak Hari Ini

Golongan Belia Perlu Terlibat Sama Dalam Pemuliharaan Seni Warisan Budaya Perak

IPOH:Penjagaan dan pemuliharaan seni warisan dan budaya Perak memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya golongan belia.

Menerusi Persidangan pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Belia yang pertama Perak Darul Ridzuan hari ini, wakil perwakilan Abul Basyar Mazlan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya Pendidikan, Kesenian dan Kebudayaan menegaskan langkah pemuliharaan khazanah itu oleh golongan belia kian meruncing kini.

Jelasnya, pakaian tradisional hanya diperagakan ketika majlis perkahwinan dan alunan muzik tradisional bergema hanya pada masa, tempat dan keadaan tertentu sahaja kini.

“Negeri ini kaya dengan khazanah seni bina tradisional seperti Istana Kenangan yang terletak di Bukit Chandan dan rekaan rumah tradisional Perak.

“Harta inilah yang seharusnya kita simpan dan jaga rapi agar generasi seterusnya dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri,” katanya semasa menyampaikan usul yang bertajuk “Memperkasakan Identiti Belia Perak:Kesedaran dan Penghayatan Terhadap Seni Warisan dan Budaya” di persidangan dewan hari ini.

Berikutan itu, Abul Basyar meminta agar sebuah enakmen khas ditubuhkan bagi melindungi, memelihara dan memulihara segala bentuk nilai khazanah seni warisan dan budaya negeri Perak.

“Kita juga perlu mempromosikan semua bentuk seni warisan dan budaya negeri ini melalui program kesedaran dan penghayatan.

“Bukan itu sahaja bagi seni persembahan mereka boleh mempelajari secara amali mengenai kesenian tradisi asli,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap institusi pendidikan dan sekolah di negeri ini perlu menubuhkan Kelab Kesenian IPT (KKIPT) atau kelab Kesenian Sekolah (KKS) sebagai platform bagi mencungkil bakat, penyebaran maklumat, ilmu dan komunikasi diantara pihak institusi pendidikan dan agensi berkaitan.

Terdahulu seramai 31 perwakilan Belia Perak bakal mengutarakan usul masing-masing berkaitan pelbagai prospek pembangunan di negeri ini untuk dikemukakan kepada penilaian dan pertimbangan pihak Kerajaan Negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");