Jenayah

Guna Alatan Besi Takutkan Pemandu, Pembuli Jalan Raya Ditahan

JOHOR BAHRU: Seorang pembuli jalan raya yang dipercayai menakut-nakutkan pengguna jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) pada Ahad, ditahan polis di sebuah hotel di Kluang tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan semasa berada di sebuah bilik hotel bersama seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menjumpai sejumlah  dadah  dipercayai jenis heroin seberat 3.19 gram dan syabu  seberat 9.95  gram selain sepucuk pistol tiruan  bertulis Beretta dijumpai di dalam kereta suspek,” katanya, menerusi laporan Malaysia Gazette, hari ini.

Mohd. Taib berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat berhubung satu kejadian menghimpit sebuah kenderaan MPV dinaiki tiga lelaki lain secara  membahayakan di EDL kira-kira pada 8.30 pagi kelmarin.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek disyaki telah turut turun dari kenderaannya dan menakut-nakutkan mangsa dengan alatan besi sebaik mangsa memberhentikan keretanya.

“Sebaik mangsa meneruskan pemanduan di Km 6.3 EDL, suspek sekali lagi menghimpit kenderaan mereka dan bertindak menakutkan  mangsa,” katanya.

Siasatan awal mendapati, suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Beliau berkata, kes yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara manakala rampasan dadah disiasat oleh IPD Kluang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");