Isu Panas

Hannah Yeoh Tidak Perlu Takut

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, tidak perlu takut sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu membuka semula fail siasatan isu pemberian tanah Kampung Sungai Yu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, ketika dihubungi, berkata demi kepentingan awam, kes itu seharusnya dibuka selagi belum puas hati dengan siasatan terdahulu, serta jika ada bukti baharu yang ditemui.

Katanya, tindakan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar meminta SPRM membuka semula siasatan kes itu mungkin selepas ada asas dan bukti baharu yang ditemui atau siasatan terdahulu oleh suruhanjaya berkenaan tidak mencukupi.

“Apa yang Hannah bising sangat? Tak payah nak takut. Untuk kepentingan awam, biarlah kes ini dibuka seluas-luasnya. Selagi ada yang tak puas hati, selagi ada bukti baharu, biarlah siasatan lanjut dibuat oleh SPRM.

“Nak tutup cepat-cepat kes ini atas asas siasatan awal oleh SPRM, memadai ke?” katanya.

Mat Nadzari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media oleh Hannah hari ini membabitkan isu Kampung Sungai Yu.

Hannah dalam kenyataan medianya menyatakan beliau terkejut dengan apa yang dianggapnya sebagai sikap tidak konsisten serta tidak profesional SPRM dalam menangani siasatan dakwaan skandal pemberian milikan tanah Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor.

Beliau berkata, SPRM tidak seharusnya berpihak kepada mana-mana parti politik selain mempersoalkan mengapa suruhanjaya itu menerima arahan daripada Noh.

Pada 8 Disember lalu, Hannah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), dilaporkan berkata, proses pemberian milikan tanah Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor kepada 175 pemohon didapati tidak mematuhi syarat.

Ekoran kenyataan itu, Noh pada Isnin lalu menggesa SPRM menyiasat skandal pemberian milikan tanah Kampung Sungai Yu itu dengan alasan pengesahan siasatan SELCAT sudah cukup sebagai bukti.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Razak membangkitkan kredibiliti EXCO Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, yang memberi jawapan bertulis mengandungi maklumat palsu, berhubung isu penyerahan surat kelulusan tanah dan borang 5A kampung berkenaan.

Antara maklumat palsu itu membabitkan senarai 18 nama penerima yang menggunakan kad pengenalan palsu selain penerima tanah adalah penduduk dari luar Selangor.

Difahamkan, tanah berkeluasan 14 hektar itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, 27 April 2016 bagi tujuan kediaman kepada 175 pemohon membabitkan 154 pemohon India, Melayu (20) dan Cina (1).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");