Perak Hari Ini

JAIPk Laksana Inisiatif Pelupusan Al-Quran Teknologi Terkini, Pertama Di Perak

IPOH: Demi memudahkan urusan pelupusan kitab suci atau mana-mana bahan cetakan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran yang telah uzur, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membangunkan sebuah mesin insinerator, yang pertama seumpamanya di Perak, khusus bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dengan adanya mesin berkenaan, ia bakal memudahkan urusan umat Islam di negeri melibatkan melupuskan bahan-bahan berkenaan yang mungkin tidak dapat diguna pakai, akibat daripada banjir, keadaan fizikal yang telah rosak, tersalah cetak dan sebagainya.

Ujarnya, orang ramai boleh mengumpulkan bahan yang telah rosak seperti di masjid-masjid daerah, pejabat jabatan agama daerah ataupun boleh  ke pusat pelupusan ini yang terletak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), dekat sini.

Tambah Nizar, dengan kewujudkan insinerator ini ia bakal menjimatkan kos dan masa bagi melupuskan bahan berkenaan.

“Sebelum ini prosesnya memakan masa yang panjang dan kos yang banyak di mana ia akan dikumpulkan di beberapa lokasi tertentu, sebelum dibakar oleh pihak vendor yang bertanggungjawab.

“Selepas pembakaran selesai, kita terpaksa membawa abu ke tengah laut dengan menggunakan kapal,” jelasnya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kebuk Pelupusan Al-Quran, di INTIM, dekat sini, pada Selasa.

Selain itu, Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin yang ditemui berkata, proses tersebut juga boleh mencecah sekitar RM100,000 untuk satu-satu masa.

Jelasnya, berbanding dengan penggunaan insinerator ini, ia hanya melibatkan kos gas dan upah kerja lebih masa bagi kakitangan bertanggungjawab, yang mana ia jauh lebih menjimatkan.

Pada perkembangan sama, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Ir Razali Hassan berkata ini merupakan projek sulung usahasama dengan JAIPk, selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang mana ia juga bakal dipatenkan dalam masa terdekat.

“Mesin ini menggunakan teknologi terkini di mana abunya akan terperangkap di dalam air dan seterusnya ia akan terus dialirkan, melalui saluran yang bersambung dengan mesin, ke Sungai Pinji,” katanya yang juga merupakan ketua projek bagi pembinaan insinerator ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");