Perak Hari Ini

Kenali Sejarah Ipoh Di Muzium Darul Ridzuan

IPOH:MUZIUM DARUL RIDZUAN yang terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab merupakan ruang klasik yang menghimpun sejarah mengenai pembangunan Bandaraya Ipoh dalam pelbagai sektor khususnya perlombongan dan pertanian.

Pertama kali menjejak kaki ke Muzium ini, mata sudah tertarik dengan reka bentuk bangunannya yang tersergam indah berwarna putih dan sudah pastinya perasaan teruja ingin mendekati serta mengetahui apa yang tersimpan itu mula timbul.

Muzium yang dibina pada tahun 1926 dan ia telah berusia lebih daripada 100 tahun serta ia juga mempunyai sejarahnya tersendiri yang memiliki ciri-ciri reka bentuk Inggeris.

Difahamkan penubuhan Muzium Darul Ridzuan bermula dari rancangan untuk menubuhkan sebuah muzium yang pertama di Bandaraya Ipoh pada 27 hb Januari 1989, oleh jawatankuasa yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu.

Tujuan penubuhan muzium ini adalah untuk memelihara sejarah perlombongan dan perhutanan di Bandaraya Ipoh bagi menyimpan dan mengekalkan segala warisan sejarah yang ditinggalkan oleh perusahaan perlombongan bijih timah dan perusahaan hasil perhutanan.

Manakala pada awal tahun 1991, bangunan ini telah mula diubahsuai rekabentuk dalamannya dan diberi nama Muzium Darul Ridzuan dan dirasmikan pada 18 Ogos 1992.

Pelbagai Artifak Bersejarah

Pada ruangan pertama, anda dapat saksikan pelbagai jenis artifak yang menarik mengenai sejarah Bandaraya Ipoh terutamanya berkaitan dengan perlombongan bijih timah.

Malah terdapat pelbagai galeri-galeri yang terdiri daripada,Sejarah Bandaraya Ipoh, sejarah Perlombongan Bijih Timah,perhutanan dan Alam Semulajadi Negeri Perak serta replika masjid di negeri ini.

Anda akan dapat melihat sendiri peralatan Polis ketika era pemerintahan penjajah juga kaedah carigali timah, penghijrahan Kuam Cina ke Kinta dan kedatangan, penempatan orang-orang India di Bandaraya Ipoh.

Tidak ketinggalan mengenai sejarah Zaman Komunis dan Pemerintahan Jepun yang disusun atur di dinding-dinding galeri ini.

Turut dipamerkan sejarah penubuhan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta pelbagai artifak sejarah perlombongan.

Asal Usul Nama Jalan, dan Nostalgia Kediaman

Sejarah Rumah Kediaman Puan Faridah Ipoh Perak, antara yang menarik minat penulis kerana ia merupakan merupakan kediaman rasmi Menteri Besar pertama iaitu Dato’ Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz antara tahun 1948 hingga 1957.

Rumah tersebut terletak di Jalan Laberoy Ipoh dan dibina pada tahun 1940 bagaimanapun kediaman ini dibiarkan kosong untuk satu tempoh agak lama walaupun telah beberapa kali dijadikan kediaman pegawai kerajaan dan pada tahun 1987 rumah ini diserahkan kepada Puan Farimah Ahmad yang mendiaminya sehingga kini.

Sementara itu turut dipaparkan sejarah bagi Lot 11, Jalan Tun Sambathan Ipoh yang reka bentuknya masih boleh anda lihat di deretan kedai berhampiran Padang Ipoh.

Deretan bangunan itu dibina pada tahun 1900 yang berfungsi sebagai kediaman, iaitu pemilik pertamanya ialah Dato’ Panglima Kinta Che Tak Kulop Mohd Yusuff dan pada ketika itu cukup terkenal sebagai kediaman para peguam kerana berdekatan dengan mahkamah.

Begitu juga dengan Jalan Panglima (Panglima Lane) yang dibina pada tahun 1903 serta ketika itu terkenal sebagai kawasan khidmat pelacuran, perjudian dan beberapa unit pelacuran namun selepas 1960an kebanyakan lot rumah kedai mula digunakan sebagai lot kediaman.

Turut dipamerkan replika masjid yang terdapat di negeri ini antaranya Masjid Papan (Kampung Melayu Papan Perak), Istana Baitulrahmah, Masjid Panglima Kinta dan Masjid Kampung Teluk Memali.

Bagi yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut sejarah perkembangan Bandaraya Ipoh ini, apa kata luangkan sedikit mangsa untuk berkunjung ke muzium ini.

Muzium Darul Ridzuan dibuka pada jam 9:30 pagi–12:15PM,dibuka semula 2:45–5 petang.
No telefon: 05-241 0048
lokasi di :Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Perak, 30000 Ipoh

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");