Jenayah

Lelaki Curi Telefon Bimbit Jemaah Masjid Dipenjara Setahun

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistert Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana mencuri sebuah telefon bimbit milik jemaah di Masjid Abidin, Jalan Masjid Abidin, di sini.

Tertuduh, Shahrul Fadlisman Nawi, 21, dari Kampung Padang Sena, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit jenama Nokia berwarna hitam yang bernilai RM50 milik seorang jemaah warga asing, Shahzaib.

Menurut laporan Sinar Online, kesalahan itu didakwa dilakukan di Masjid Abidin, di sini, antara jam 5.30 pagi hingga 6.20 pagi, pada 14 Disember lalu.

Dengan itu, tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut dihukum tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah gagal mengemukakan kad pengenalan diri semasa dibuat pemeriksaan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25 (1) (a) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 Pindaan PU (A) 232/2001.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan secara serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistert Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada 14 Disember lalu, kira-kira jam 6.20 pagi, pengadu iaitu seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas didatangi seorang jemaah lelaki warga asing memaklumkan telefon bimbitnya yang dicas di dalam masjid sebelum menunaikan solat subuh hilang.

Susulan itu, pengadu terus membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal sebelum mendapati seorang lelaki mencuri telefon bimbit tersebut .

Pengadu bersama rakan setugasnya terus bergegas mencari suspek di sekitar kawasan masjid dan berjaya mengesan suspek berada di tepi pagar masjid sebelum bertindak menangkapnya lalu diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");