Berita Hari Ini

Pelangi Di Taiwan Catat Rekod Dunia

PELANGI di Taiwan telah berjaya mencatatkan rekod dunia yang baharu, minggu lepas.

Difahamkan pelajar di lokasi tersebut tidak putus-putus melihat jam mereka sambil memandang ke langit untuk melakukan proses dokumentasi pelangi paling lama muncul dan dapat dilihat oleh manusia.

Lengkungan pelangi di utara Taiwan itu muncul selama hampir sembilan jam, atau lebih tepat lagi lapan jam, 58 minit, sekali gus menjadikannya sebagai pelangi yang paling lama muncul, menurut pelajar dan kakitangan di Universiti Kebudayaan Cina yang terletak di pergunungan Taipei.

Pelangi tersebut dilihat menghiasi langit dari pukul 6.57 pagi hingga 3.55 petang pada Khamis, 30 November 2017.

Tempoh masa itu bakal melenyapkan rekod dunia sebelum ini yang berlaku di Yorkshire, England, pada 14 Mac 1994. Pelangi di Yorkshire muncul selama enam jam, menurut Guinness World Records.

“Ia luar biasa…Rasanya seperti hadiah dari langit!” kata profesor di Jabatan Sains Atmosfera universiti, Chou Kun-hsuan yang membantu memimpin usaha mendokumentasikan pelangi itu, memetik sumber laporan BBC News.

Selepas menyaksikan kemunculan pelangi selama hampir enam jam seminggu sebelum itu, Kun-hsuan bersedia jika satu lagi pelangi akan muncul.

“Selepas empat jam, kami mengerahkan semua pelajar dan mula memberitahu semua pelajar di sekolah untuk mengambil gambar dan menghantar gambar-gambar kepada kami,” kata Kun-hsuan.

Universiti Kebudayaan Cina menyiarkan buletin pada Khamis meminta pelajar dan kakitangan menghantar sebarang gambar atau video pelangi itu yang mereka rakam untuk membuktikan kepada Guinness World Records bahawa satu rekod baharu dunia telah dicatatkan.

“Kami memerlukan gambar ‘setiap saat’ untuk menyokong rekod ini, tidak kira berapa banyak yang ada,” jelas sekolah tersebut dalam kenyataan dalam talian.

Dengan hampir 10,000 gambar yang diambil di Jabatan Sains Atmosfera sahaja dan ribuan yang lain diambil oleh pelajar dan penduduk di kawasan itu, Kun-hsuan percaya ia cukup untuk membolehkan gelaran itu diperolehi.

“Saya yakin kita dapat membuktikan kepada Guinness bahawa pelangi ini muncul selama sembilan jam dengan menunjukkan gambar setiap saat,” kata Kun-hsuan.

Menurut Guinness World Record,Rainbow biasanya akan muncul kurang dari tempoh masa sejam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");