Jenayah

Rasuah: Anggota Polis Kena Denda, Penjara

SEREMBAN: Seorang koperal polis dijatuhi hukuman denda RM20,000 dan penjara 52 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan meminta dan menerima rasuah empat tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Umar Saifuddin Austin Abdullah, 40, selepas gagal menimbulkan keraguan yang munasabah bagi pendakwaan itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa meminta suapan RM500 daripada Noorazly Ja’ala yang dikatakan untuk diberi kepada pegawai dan anggota lain, supaya membebaskan dua lelaki yang ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah di sebuah restoran di Chembong, Rembau, pada 13 dan 14 Januari 2013.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa menerima RM400 daripada Noorazly Ja’ala yang dikatakan untuk diberi kepada pegawai dan anggota lain, supaya membebaskan dua lelaki yang ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah di lokasi sama, jam 6.30 petang, pada 14 Januari 2013.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Menerusi laporan BH Online, Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara 24 bulan, manakala pertuduhan kedua denda RM10,000 dan penjara 28 bulan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

Terdahulu, Hanif memohon penangguhan hukuman penjara serta denda dan hakim hanya membenarkan penangguhan penjara, namun meminta tertuduh membayar segera denda sebanyak RM20,000 dan jika gagal boleh dipenjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");