Isu Panas

Saya Tidak Campur Tangan, Pengaruhi Keputusan Usul: PM Najib

KUALA LUMPUR:  Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak campur tangan mahupun mempengaruhi usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Perdana Menteri berkata usul itu dibuat secara spontan atas kehendak perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO, yang merupakan platform tertinggi parti untuk membuat keputusan.

“Ini diambil kira sebagai keputusan muktamad. Saya terima keputusan ini. Ini adalah atas kehendak perwakilan sendiri, sebab itu saya tidak sentuh langsung dalam ucapan (dasar presiden) saya. Saya tidak mahu seolah-olah saya yang menjadi dalang di belakang ini.

“Tiada sesiapa yang membantah sama sekali,” katanya pada program ‘Ruang Bicara’ Bernama News Channel ketika melawat Laman Media sempena perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, seperti yang dilaporkan Bernama semalam.

Perhimpunan itu hari ini sebulat suara meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin mengumumkan keputusan itu selepas perwakilan mengundi bersetuju dengan usul yang dicadangkan wakil pergerakan Pemuda Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan disokong oleh wakil Perak Datuk Mohd Azhar Jamaluddin serta dibahaskan wakil negeri serta jurucakap sayap.

“Justeru, atas semangat kebersamaan dan kesalingan dan bagi memastikan konsep ini dapat direalisasikan, adalah dengan menjadi ketetapan untuk diputuskan dalam sidang kali ini agar jawatan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden (Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang,” kata Badruddin.

Najib berkata keputusan yang dibuat para perwakilan itu menunjukkan mereka mementingkan perpaduan dalam parti dan tidak mahu membuang masa dalam politik tidak membina.

Dengan usul tersebut, beliau berkata anggota UMNO akan lebih fokus dan terarah kepada kerja-kerja persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14, sekaligus memperkukuh parti dan mengelak pertikaian dalaman.

“Jadi, soal kepimpinan utama parti dianggap sudah selesai. Sekarang, (soal kepimpinan) tidak lagi berlegar-legar dalam kepala mereka,” kata beliau.

Sementara itu, Najib menyifatkan perjalanan perhimpunan agung kali ini ‘luar biasa’ di mana jumlah pemerhati dan perwakilan yang hadir adalah ramai ketika mengikuti setiap perbahasan dan ucapan para pemimpin.

“Ini satu gambaran yang sangat memberangsangkan bahawa pemimpin akar umbi sangat minat mengikuti perjalanan perhimpunan agung kali ini.

“Saya lihat mereka menghayati ucapan saya. Saya berharap mereka menjadikan ini sebagai bekalan dan azimat untuk semaikan dalam hati sanubari mereka sebab kita memerlukan bukan sahaja perjuang-pejuang yang bersemangat tetapi mereka mesti mempunyai ilmu dan gerak kerja untuk mencapai kemenangan,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");