Jenayah

Shafiq Mohon Maaf Siar Filem ‘Live’ Di FB

CHERAS: Pekerja pendawaian elektrik, Mohamad Shafiq Adam, 21, tampil memohon maaf atas tindakannya membuat siaran langsung tayangan filem, Pinjamkan Hatiku, di laman sosial Facebook (FB) miliknya.

Shafiq mendakwa, dia melakukan perbuatan itu sekadar suka-suka bagi berkongsi dengan pengikut laman sosialnya, tanpa menyedari ia satu kesalahan.

“Saya tidak tahu perbuatan itu satu kesalahan dan jika maklum, saya takkan melakukannya. Dua hari selepas saya buat FB live itu, baru saya tahu ia salah, selepas ada yang memaklumkan. Pihak produksi filem itu juga ada menghantar mesej melalui FB, meminta saya memadamkannya.

“Saya berbuat demikian sekadar suka-suka dan inilah filem pertama yang saya kongsi secara langsung menerusi laman sosial. Saya juga tidak tahu sudah ada kes serupa sebelum ini. Saya pula berbuat begitu kerana menyukai filem ini,” katanya menerusi laporan BH Online.

Shafiq yang berasal dari Kuala Terengganu dikatakan melakukan kesalahan terbabit pada 2 Disember lalu dan disedari produksi filem berkenaan keesokannya. Satu laporan polis berhubung perkara itu juga sudah dibuat pada Isnin lalu.

Menyentuh mengenai cara rakaman dilakukan, Shafiq berkata, dia menggunakan telefon pintar yang diletakkan di atas baju sejuk.

“Saya buat ‘live’ selama sejam dan terbahagi kepada dua bahagian. Saya melakukannya di sebuah pawagam di Kuala Terengganu ketika tayangan tengah malam dan tidak disedari oleh penonton lain mahupun pekerja panggung wayang terbabit,” katanya.

Pengarah filem berkenaan, Osman Ali, berkata Shafiq membuat permohonan maaf bagi menyedarkan orang lain, terutama golongan muda yang terlalu teruja menggunakan media sosial, mengenai tindakan mereka yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, kes itu masih diteruskan dan kini di bawah siasatan polis walaupun Shafiq sudah tampil membuat permohonan maaf.

“Pinjamkan Hatiku ialah filem kedua saya yang menjadi mangsa rompakan digital selepas Kau Yang Satu. Filem pertama dulu ditonton lebih 500,000 orang dan dia ada niat berbuat begitu untuk melariskan produknya.

“Untuk filem ini (Pinjamkan Hatiku), ia sekadar mendapat 600 tontonan sebab kita sempat meminta si pelaku memadamkan rakaman terbabit.

“Apapun, kesannya tetap kita rasai walaupun filem ini sudah meraih kutipan RM1.8 juta dalam tempoh seminggu tayangan. Kita juga dimaklumkan, ada dua lagi tangkapan dibuat oleh pekerja panggung terhadap dua individu berbeza. Namun, rakaman belum sempat dibuat,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Nuansa Sdn Bhd, Yus Yusop, berkata pihaknya tidak berniat untuk mengeksploitasi Shafiq bagi melariskan filem terbabit.

“Kalau ikutkan, saya nak serahkan saja kepada polis, tetapi dia sendiri datang ke sini untuk mengakui kesalahannya. Mungkin ia boleh memberikan kesedaran kepada semua.

“Kita tidak mahu berkompromi apabila sesuatu perkara itu membabitkan undang-undang. Tetapi, dia bersedia untuk membantu siasatan. Kita juga sedia membantu sebab mungkin dia melakukannya tanpa menyedari, ia satu kesalahan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");