shadow

PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Khalid Ali mencadangkan bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai calon sesuai untuk mengisi jawatan panas yang ditinggalkan Nelo Vingada.

Jelas beliau, Cheng Hoe mempunyai pengalaman luas bersama skuad kebangsaan selain pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

“Kita ada jurulatih tempatan yang bagus seperti Tan Cheng Hoe begitu juga Datuk Ong Kim Swee dan Rajagobal. Sepatutnya kita tidak membazirkan wang untuk membayar gaji mahal kepada jurulatih luar kerana ia tidak mendatangkan sebarang manfaat.

“Sepatutnya FAM beri peluang kepada beliau untuk hasilkan pemain berkualiti dalam tempoh lima tahun. Apa salahnya kita guna khidmat jurulatih tempatan sebelum ambil jurulatih luar?,” soalnya.

Menurut Khalid, Cheng Hoe sudah memahami corak Liga Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya memberi tumpuan kepada calon jurulatih tempatan selain program di peringkat akar umbi.

“Saya pernah cakap sebelum ini, kita sepatutnya sedar dari awal, kena ukur baju di badan sendiri. Kita tiada pemain yang betul-betul berkualiti. Andai kita sudah ada sebuah pasukan yang mantap baharulah kita boleh pertimbang untuk ambil jurulatih luar.

“Sehebat manapun jurulatih luar itu kalau kita tak ada pemain berkualiti, skuad kebangsaan tak akan ke mana. Kita boleh bersaing di peringkat Asia Tenggara tetapi tidak di Asia. Kita masih belum dapat menandingi Korea dan Jepun,” katanya memetik sumber Mstar Online.

Pada masa sama, Khalid berkata peletakan jawatan Vingada sememangnya sudah dijangka memandangkan beliau gagal mengemudi Harimau Malaysia memenangi kesemua tujuh perlawanan di bawah kendaliannya.

“Peletakan jawatan Vingada ini sudah saya jangka. Dulu saya pernah kata tak perlu ambil jurulatih luar, beri tumpuan kepada jurulatih tempatan kerana kita tak ada pemain berkualiti.

“Sekarang apa yang saya katakan sudah terbukti. Sejujurnya kita memang ketandusan pemain berkualiti. Di Malaysia, pemain Liga Super contohnya, hanya bermain 20 perlawanan dalam masa setahun. Macam mana mereka nak ada pengalaman, jadi pokok pangkalnya adalah perbanyakkan program di peringkat akar umbi,” katanya.

Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, Malaysia memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya sehingga 10 tahun untuk membina sebuah pasukan yang mantap.

“Tiada jalan pintas. Ia memakan masa lama, lima hingga 10 tahun bukannya setahun. Jika FAM ambil kira pandangan saya lebih 30 tahun dahulu, mungkin kita sudah mempunyai ramai pilihan pemain hebat hari ini.

“Namun segalanya sudah terlambat. Kita kena terima hakikat bahawa hari ini kita tak ada pemain yang boleh bermain di peringkat Asia. Yang ada pun setakat Piala AFF dan Sukan SEA… itulah standard pemain kita,” katanya.

Siapakah calon yang akan menggambil alih tugas mengendalikan skuad kebangsaan kembali menjadi persoalan selepas Vingada meletak jawatan pada Rabu.

Selain Vingada dua lagi pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho (penolong jurulatih) dan Francisco Jose Bruto Da Costa (jurulatih kecergasan) turut ‘angkat kaki’ selepas tidak sampai tujuh bulan bersama skuad kebangsaan.

Namun, Cheng Hoe yang merupakan seorang lagi penolong jurulatih kekal bersama pasukan sekali gus mencetuskan kemungkinan beliau bakal diberikan tugas itu sekurang-kurangnya sehingga FAM menemui pengganti Vingada.

Selain berpengalaman luas bersama skuad kebangsaan, Cheng Hoe juga mempunyai rekod cemerlang bersama Kedah selepas memacu pasukan itu menjulang trofi Piala Malaysia musim lalu.

Komen & Pendapat