Jenayah

Tipu Tender Makanan, Peniaga Cendol Dipenjara 18 Tahun

KUANTAN: Seorang peniaga cendol dipenjara 18 tahun dan denda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menipu lebih 15 pengusaha makanan berhubung tender makanan tidak wujud.

Memetik laporan BH Online, Majistret Nordiana Abd Aziz memerintahkan Mahani Mohamed, 44, dipenjara lapan tahun dan denda RM16,000 atau penjara 16 bulan jika gagal menjelaskan denda dikenakan bagi 11 pertuduhan.

Wanita dari Kampung Sungai Ular, dekat sini, dituduh menipu mengenai pembekalan tender makanan yang tidak wujud kepada pengusaha kedai dan warung makanan sekitar Kuantan dengan kerugian dianggarkan lebih RM20,000.

Tindakan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai, barang kemas atau memindahkan wang ke akaun milik suaminya di antara 24 November hingga 14 Disember lalu.

Pada prosiding di hadapan Majistret Nurul Naim Abdullah pula, tertuduh mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menipu pengusaha makanan, juga atas sebab yang sama, yang didakwa dilakukannya antara 23 Ogos hingga 27 Oktober lalu.

Nurul Naim menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas tertuduh yang didakwa menipu mengenai tender pembekalan makanan kepada pekerja di Pelabuhan Kuantan dan di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng di sini, yang diketahuinya tidak wujud.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Syafiqah Syeba Atan dari Yayasan Bantuan Guaman.

Sementara itu, pada prosiding sama di hadapan Nordiana, suami Mahani, R Sukri Raja Ahmat, 37, mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan bersama isterinya menipu tiga peniaga makanan, atas sebab yang sama, sehingga menyebabkan mangsa memindahkan wang ke dua buah bank komersial milik tertuduh.

Nordiana membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Sementara itu, rakan Mahani, Hasnah Ngah, 49, dari Kampung Batu Hitam, Beserah, di sini, juga mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan menipu mangsa bersama-sama Mahani.

Pengakuan atas lima pertuduhan direkodkan di hadapan Nordiana manakala bakinya di hadapan Nurul Naim yang kedua-duanya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM39,000 serta seorang penjamin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");