Perak Hari Ini

Usaha Martabat Bahasa Melayu Wajib Diteruskan-MB Perak

PANGKOR:Pendekatan lebih tegas dan komprehensif perlu digarap agar Bahasa Melayu bukan sekadar sebagai alat bahasa pengantar semata.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penggunaan Bahasa Melayu perlu mencakupi segenap fasa perhubungan di sektor awam dan swasta serta perjuangan memartabatkan bahasa bersesuaian dengan kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan wajib diteruskan.

“Ia harus meresap ke dalam kendiri pengguna bukan sahaja sekadar menghiasi kain rentang dan gegantung. Dinamika bahasa akan terjelma dengan sendirinya apabila digunakan secara bersungguh-sungguh dan bukan sambil lewa,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis kemuncak Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Edisi ke-8 yang di sini hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan Pulara 8 yang berlangsung pada 29 November hingga 3 Disember ini di Pulau Pangkor.

 

Zambry turut mendeklamasikan puisi karya
ciptaannya yang bertajuk Azan gemamu melambaiku di hadapan lebih 1,000 hadirin yang hadir.

Jelas Zambry lagi, penganjuran PULARA sejak dahulu lagi sudah mengariskan objektif serta kumpulan sasarannya tersendiri bagi memastikan masa depan Bahasa sentiasa terjamin.

“Kita mensasarkan ahli akademia, guru, penyair, sasterawan serta aktivis seni dari dalam dan luar negara, remaja di peringkat sekolah, institusi awam dandan swasta, individu yang berminat serta pemimpin masyarakat tempatan.

“Kami yakin sekiranya golongan ini menggunakan Bahasa Melayu secara proaktif masa depan bahasa lebih terjamin,” katanya.

Katanya dalam isu bahasa Melayu, semua pihak tidak harus bersikap apologetik atau rendah diri sebaliknya perlu berbangga denganya.

“Apakah yang patut kita lakukan sebelum Bahasa Melayu menjadi bahasa caca marba?

“Perjuangan memartabatkan bahasa sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan wajib diteruskan.

“Kita harus tentang gerombolan tukang silap yang selalu ingin memanipulasikan bahasa dan budaya bangsa serta hanyut dalam dogma komerlisme.Mereka kurang faham tentang jati diri dan identiti bangsa jadi biarlah mereka terjun dengan labu-labunya,” katanya.

Terdahulu Pulara 8 merupakan program anjuran Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak dengan kerjasama Yayasan Kampung Karyawan Malim bertemakan “Sebahasa Sejiwa”.

Penyair dan pemakalah yang turut serta pada Pulara Pangkor 8 kali ini antaranya dari Indonesia, Thailand, Singapura, India, Brunei, Jerman, Australia, Sepanyol, China, Amerika, Jepun, Bangladesh dan Timor Leste.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");