Berita Hari Ini

13 Hotel Tarik Balik Larangan Bertudung

KUALA LUMPUR: Isu larangan bertudung dalam kalangan pekerja wanita beragama Islam di sektor perhotelan selesai apabila kesemua 13 hotel di Semenanjung bersetuju menarik balik peraturan tersebut.

Presiden Majlis Perhubu­ngan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, Ke­tua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Datuk Mohd. Jeffry Joakim mengesahkan perkara itu kepada pihaknya hari ini dalam mesyuarat tertutup di Putrajaya.

Sejajar dengan itu katanya, pertemuan dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kesatuan sekerja hotel lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan minggu hadapan bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membenarkan semua pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

“Alhamdulillah, 13 hotel yang didapati melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) larangan bertudung terhadap pekerja wanita beragama Islam bersetuju menarik balik peraturan tersebut.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar aduan mengenai isu ini dan berharap tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap pengusaha hotel yang masih berdegil meneruskan peraturan diskriminasi itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Mohammed Shafie, pihaknya turut mengemukakan senarai 28 hotel di seluruh negara yang menguatkuasakan SOP tersebut dan menggesa jabatan berkenaan mengambil tindakan segera.

Katanya, senarai itu diperoleh hasil siasatan anggota UNI-MLC dan aduan daripada beberapa pekerja wanita beragama Islam yang menjadi mangsa peraturan diskriminasi tersebut.

“Kami akan membentangkan satu rangka kerja sebagai persediaan kepada semua pihak industri agar menghormati Perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Manusia ketika dihubu­ngi mengesahkan mengenai hasil mesyuarat tersebut.

– Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");