Jenayah

Barangan Lesap Selepas Adik Tumpang Rumah

BINTULU: Berang terhadap sikap umpama ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ seorang guru membuat laporan polis semalam, berhubung kecurian pelbagai barangan berharga di rumahnya, yang didalangi adik sendiri.

Antara barangan yang didapati hilang dalam kejadian pada 28 Disember lalu termasuk dua rim kereta bersama tayar, set dekoder televisyen berbayar, sepasang kasut berjenama, mesin pengisar serta mesin membuat kuih.

Guru terbabit mendakwa semua barangan dicuri adiknya sendiri selepas memberi kebenaran kepada suspek tinggal sementara di kuarters kediamannya ketika guru terbabit bercuti sempena sambutan Krismas.

Ketika guru berkenaan kembali ke kuarters kediamannya, mangsa melihat adiknya menunjukkan sikap mencurigakan kerana takut perbuatan dikesan lalu suspek bertindak melarikan diri.

Selepas mencuri barangan milik abangnya, suspek dikesan bertindak menjual barang-barang itu di kedai besi buruk di Pekan Tatau, di sini.

Susulan laporan polis dibuat mangsa jam 1.20 tengah hari semalam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Tatau diketuai Inspektor Zulkifle Othman melancarkan gerakan sebelum berjaya menahan suspek di Pasar Tamu Tatau, di sini, kira-kira tiga jam kemudian.

Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan semula kesemua barang milik guru berkenaan dan polis bertindak merampas barang terbabit untuk dijadikan bahan bukti.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Muhammad Hafiz Mohd Noor di Mahkamah Bintulu, hari ini.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");