Isu Panas

Calon PM Pembangkang Masih ‘Dirahsiakan’

PETALING JAYA: Pakatan pembangkang terus berteka-teki berhubung calon yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam Mesyuarat Majlis Presiden pakatan itu selama lebih tiga jam bermula kira-kira jam 4 petang tadi, kepemimpinan tertingginya enggan mendedahkan nama calon bagi mengisi jawatan berkenaan meskipun diasak pelbagai soalan oleh wartawan.

Pengerusi pakatan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata calon Perdana Menteri mereka mungkin diumumkan ketika atau selepas konvensyen gabungan parti pembangkang itu pada Ahad ini di Shah Alam.

Semalam, Pengerusi PPBM itu memberitahu media bahawa beliau akan mengumumkan calon Perdana Menteri daripada pakatan itu hari ini.

Bagaimanapun, hari ini, ketika ditanya, beliau berkata:

“Kita akan umumkan nama calon PM (Perdana Menteri) Pakatan Harapan selepas konvensyen berkenaan atau sebelum PRU.

“Ini bukan masanya kita umum keputusan siapa calon PM Pakatan Harapan. Masing-masing parti sudah bersedia tetapi kita tak mahu beritahu sekarang.

“Semua pengumuman penting berkenaan masa depan Pakatan Harapan akan kita umumkan pada konvensyen nanti. Jangan lupa datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Pada Ahad ini, gabungan itu akan menganjurkan konvensyen kali keduanya di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) sebagai persiapan menghadapi PRU-14.

Seramai 1,200 perwakilan dijangka hadir di konvensyen pertama kali menampakkan empat parti komponen di atas satu pentas.

Isu calon perdana menteri terus melingkari gabungan pembangkang dengan PKR dan DAP mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri manakala PPBM menamakan Dr Mahathir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");