Berita Hari Ini

Guna Scrambler Pantau Sempadan Malaysia – Thailand

BUKIT KAYU HITAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin penerimaan motosikal lasak atau ‘scrambler’ mampu meningkatkan kemampuan anggota untuk melaksanakan tugas pemantauan kawasan sempadan Malaysia – Thailand, khususnya menerusi Ops Wawasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata untuk tujuan itu, 200 motosikal Kawasaki KLX250 diagihkan ke kawasan sempadan dengan keutamaan diberikan kepada negeri seperti Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan bagi memperkasa Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Beliau berkata, penggunaan scrambler bermula hari ini adalah variasi baharu yang menzahirkan mekanisme pencegahan jenayah secara aktif dan menyeluruh berikutan kemampuan motosikal itu yang tahan lasak di jalan sempit, berliku, berlereng serta mampu melepasi halangan batas jalan raya.

“Kita akan beri keutamaan kepada empat negeri yang bersempadanan dengan Thailand, selain turut diagihkan untuk kegunaan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Penugasan anggota PGA yang menggunakan motosikal lasak ini adalah bertujuan memperkasakan lagi Ops Wawasan yang berperanan menjaga keselamatan sempadan Malaysia – Thailand,” katanya dipetik dari sumber laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Motosikal Kawasaki Model Z250 dan KLX250 kepada PDRM di Martak PGA Bukit Kayu Hitam, di sini, petang tadi.

Pada majlis itu Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia), Ahmad Faez Yahaya, menyerahkan replika kunci kepada Fuzi sebagai simbolik penyerahan 871 motosikal yang akan digunakan di seluruh negara.

PDRM melalui PGA kini bertanggungjawab mengawasi sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang laluan keselamatan dan pembangunan (KESBAN) antara Bukit Kayu Hitam hingga Padang Besar di Perlis, manakala selebihnya di bawah tanggungjawab Rejimen Sempadan (RS).

Fuzi berkata, inisiatif memperkasa URB itu menelan kos keseluruhan RM28 juta dan ia membabitkan 671 motosikal jenis Z250, manakala baki 200 lagi jenis KLX250.

“Ia akan diserahkan secara berperingkat, seperti hari ini kita menyerahkan 47 motosikal kepada Kontinjen Kedah dan 20 lagi kepada PGA. Saya yakin pertambahan motosikal ini akan menjimatkan lagi masa bertindak, sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 minit,” katanya.

Beliau berkata, penambahan jumlah motosikal kali ini menjadikan jumlah keseluruhan yang digunakan URB adalah 4,189 buah sejak ia ditubuhkan pada 2014.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");