Isu Panas

Hanya Yang Kuat Akan Kekal Dengan Pas

SHAH ALAM – Mereka yang berpendirian teguh akan kekal bersama Pas sebagai sebuah gerakan yang berjuang menegakkan Islam.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ahli yang kekal teguh bersama Pas juga adalah mereka yang meninggikan dan mencari keredaan ALLAH di dunia dan akhirat.

“Mereka ini menyertai Pas berdasarkan tuntutan akidah. Berdiri atas iman kepada ALLAH dan kitab yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Mereka menunaikan perintah ALLAH dengan penuh yakin dan optimis. Mereka berjuang menegakkan syariat ALLAH dengan harta dan jiwa raga,” katanya dalam kenyataan media.

Bagaimanapun, mereka yang menyertai Pas tanpa alasan kukuh tidak akan mampu bertahan, kerana ujiannya (dalaman) terlalu getir sehingga boleh membawa kekecewaan dan patah hati.

Menurut Nasrudin, terdapat empat kategori mereka yang menyertai Pas. Pertama, mereka bersama Pas kerana ketokohan individu tertentu. Dan mereka akan tinggalkan parti jika tokoh itu juga meninggalkan Pas.

“Perjuangan dan pendirian mereka tidak mantap dan kukuh. Mungkin hanya bertahan beberapa tahun mengikut ketahanan tokoh itu.

“Kedua, mereka yang menyertai Pas kerana kepentingan peribadi atau kelompok yang mempunyai agenda tertentu. Apabila gagal capai apa yang diingini mereka akan mencari tapak lain untuk pelan ‘B’ dan meninggalkan Pas,” katanya.

Tambahnya, ketahanan mereka berdasarkan sejauh dan selama mana mereka peroleh kepentingan dan memiliki peluang menjayakan agenda mereka.

Ketiga, mereka bersama Pas tanpa asas dan sebab yang kukuh. Mereka sendiri tidak tahu kenapa menyertai Pas.

“Bakanya Pas, ayah dan ibunya Pas. Mereka membesar dalam persekitaran Pas. Jadi mereka ini tiada jawapan yang konkrit kenapa sertai Pas kerana telah Pas sejak awal.

“Pendirian mereka cepat goyang apabila Pas dilanda krisis. Mereka tiada jawapan kukuh kenapa terus kekal dengan Pas yang sedang bergoncang dilanda gelombang,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Akhirnya mereka lari meninggalkan parti kerana tidak sanggup berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Menurut Nasrudin, ada juga yang menyertai Pas kerana kecenderungan dan simpati terhadap apa yang diperjuangkan parti kerana teruk dibelasah musuh.

“Penglibatan mereka ini longgar dan rapuh. Rasa simpati mereka akan berakhir, apabila merasakan Pas tidak lagi menepati kemahuan dan kehendaknya.

“Tiada lagi simpati malah boleh bertukar menjadi benci. Apabila benci menguasai diri, mereka akan angkat kaki dan tinggalkan Pas,” katanya.

Katanya, hanya mereka yang menyertai Pas kerana aqidah dan sanggup berjuang, mampu bertahan hingga ke denyut nadi yang terakhir.

“Sama ada menang atau syahid, namun untuk memalingkan tumit meninggalkan perjuangan adalah tidak sama sekali,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");