Isu Panas

Jadi Pembangkang Atau Bentuk Kerajaan Campuran

KUALA LUMPUR: PAS hanya ada dua pilihan, sama ada menjadi pembangkang utama di Parlimen atau membentuk kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) selepas hasrat bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen diperlekehkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata, kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa hasrat PAS sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’ ibarat menutup pintu kerjasama dengan parti siasah itu jika gabungan pakatan pembangkang memperoleh kurang kerusi bagi membentuk majoriti mudah di Parlimen.

Beliau berkata, dengan sikap itu juga, cita-cita Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk kembali menjadi Perdana Menteri akan tinggal `angan-angan mat jenin’.

Ini kerana, katanya setakat ini PAS belum menetapkan sebarang keputusan jika situasi ‘hung Parliament’ berlaku, sama ada akan bersama BN atau gabungan pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan campuran atau PAS akan terus menjadi pembangkang yang kuat di Parlimen.

“Dengan sikap Dr Mahathir ini, maka pilihan yang tinggal kepada PAS hanya dua iaitu terus kekal menjadi pembangkang utama di Parlimen atau membentuk kerajaan campuran dengan BN.

“Oleh sebab itu, sasaran minimum PAS untuk memenangi 40 kerusi tidak seharusnya diperkecilkan,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Selain menyifatkan hasrat PAS itu sebagai `angan-angan Mat Jenin’, Dr Mahathir turut mendakwa PAS bercita-cita tinggi untuk bertanding lebih 130 kerusi Parlimen kerana parti itu kadang kala hanya memenangi satu kerusi Parlimen.

Ia susulan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang memaklumkan parti itu akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU-14, dengan harapan memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata Dr Mahathir seharusnya menyedari sukar untuk mana-mana parti atau gabungan parti politik memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan dalam senario pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Beliau berkata, dalam konteks global, keputusan seperti itu kerap berlaku mutakhir ini termasuk di United Kingdom yang dulu lebih dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem dua parti.

“Jika BN, Gagasan Sejahtera diterajui PAS atau gabungan pakatan pembangkang tidak boleh membentuk kerajaan, melainkan bergabung, maka sikap angkuh Dr Mahathir ini menandakan beliau sudah menutup pintu dengan PAS,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");